
Hakim Nik Mohd Tarmizie Nik Mohd Shukri menetapkan tarikh berkenaan selepas peguam Muhyiddin memohon kes berkenaan dipindahkan ke Mahkamah Tinggi Kota Bharu.
Muhyiddin diwakili barisan enam peguam diketuai Amer Hamzah Arshad manakala pihak pendakwaan diketuai Timbalan Pendakwa Raya Azlina Rasdi.
Ketika ditemui di luar mahkamah, Amer Hamzah berkata pihaknya memohon kes berkenaan dipindahkan ke Mahkamah Tinggi kerana ia melibatkan undang-undang yang penting termasuk isu pelantikan perdana menteri oleh Yang di-Pertuan Agong.
“Kes ini kami akan bahagikan beberapa isu undang-undang penting sama ada Seksyen 3 dan Seksyen 4 (1) Akta Hasutan. Sama ada ia mematuhi Perlembagaan Persekutuan khususnya fasal 10, itu antara satu isu undang-undang yang kita akan bangkitkan.
“Mungkin ada keperluan mahkamah untuk membuat deklarasi bahawa peruntukan terbabit tidak sah dan kuasa untuk membuat deklarasi mana-mana undang-undang (sama ada) tidak sah atau tidak tidak mematuhi Perlembagaan hanya terletak di Mahkamah Tinggi.
“Mahkamah Sesyen tidak ada bidang kuasa berkenaan, jadi memandangkan akan timbul isu-isu sedemikian, sebab itu kami rasa perlu dipindahkan di Mahkamah Tinggi,” katanya, menurut Berita Harian.
Katanya, pembelaan berharap keputusan permohonan itu dapat diketahui dalam bulan ini atau awal bulan depan.
“Kami harap permohonan ini dapat di tetapkan pada bulan ini atau awal Disember depan,” katanya.
Pada 27 Ogos lalu, Muhyiddin didakwa dihadapkan ke mahkamah atas pertuduhan mengeluarkan perkataan menghasut dalam ceramah pada kempen PRK Nenggiri.
Beliau bagaimanapun mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan dan mohon dibicarakan.