Era politik baharu perlu gabungan, BN tak mampu solo di Sabah

Era politik baharu perlu gabungan, BN tak mampu solo di Sabah

Penganalisis berkata bergerak solo tidak mampu membawa kejayaan memandangkan konteks trend politik terkini cenderung kepada gabungan.

Penganalisis berkata jenama BN di Sabah sudah lapuk dan memerlukan transformasi menerusi kerjasama parti lain untuk menang pilihan raya khususnya PRN akan datang. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Seorang penganalisis politik berpandangan Barisan Nasional (BN) Sabah tidak mampu mencipta kejayaan termasuk menawan negeri itu jika bertanding secara solo pada PRN akan datang.

Bilcher Bala dari Universiti Malaysia Sabah berkata, jenama BN di Negeri Bawah Bayu itu kini dilihat sudah lapuk dan memerlukan transformasi menerusi kerjasama dengan parti lain untuk meraih kemenangan dalam pilihan raya.

“Konteks trend politik terkini adalah transformasi politik gabungan. Maka BN tidak boleh bergerak solo sama ada dalam PRN atau PRU di Sabah.

“Boleh dikatakan gabungan BN sudah lapuk dan rakyat Sabah ingin pengaturan semula gabungan parti politik. Jadi BN harus mencari formula gabungan baharu,” katanya kepada FMT.

Gabungan BN di Sabah ketika ini hanya terdiri empat parti iaitu Umno, Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS), MCA dan MIC.

Sementara itu, Tony Paridi Bagang dari Universiti Teknologi Mara (UiTM) Sabah mempunyai pandangan berbeza apabila menyifatkan pertembungan banyak penjuru dalam PRN akan membuktikan demokrasi di Sabah subur.

Beliau turut menjangkakan keputusan untuk bergerak solo bukan hanya dilakukan BN tetapi juga parti lain.

“PRN kali ini bakal mengetengahkan persaingan sengit dan dinamika tersendiri jika setiap pakatan politik bergerak secara solo.

“Setiap pakatan mahu pun parti politik tempatan mempunyai kelebihan dan kekuatan yang tersendiri dan ini bakal diuji.

“Kecairan (fluidity) situasi politik Sabah mungkin menonjolkan dominasi gabungan politik masing-masing mengikut kawasan ‘status quo’. Namun secara demokrasinya, bertanding solo membuka ruang parti atau gabungan menguji kekuatan mereka,” katanya.

Semalam, Pengerusi BN Sabah Bung Moktar Radin dilaporkan berkata gabungan itu bersedia untuk bergerak solo pada PRN akan datang.

Beliau berkata, tindakan itu akan diambil jika tiada kesepakatan kerjasama dicapai dengan parti lain.

Katanya, BN dan Umno Sabah juga tidak gentar dan sudah mempersiapkan jentera untuk menghadapi pilihan raya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.