
Tokoh veteran industri internet, Mohamed Awang Lah, berkata maklumat mengenai pemilihan U Mobile itu masih samar.

“Saya harap perincian syarat dan penunjuk prestasi utama untuk pengendali kedua dijelaskan,” kata Mohamed, bekas ketua eksekutif penyedia internet pertama Malaysia, Jaring.
Katanya, beliau tidak faham kenyataan kerajaan yang mengatakan U Mobile ‘dibolehkan’ bekerjasama dengan pengendali rangkaian mudah alih lain. “Adakah ini bermakna U Mobile boleh beroperasi sendiri?” katanya.
Pada Jumaat lalu, U Mobile, yang dipengerusikan taikun Vincent Tan, dipilih melaksanakan rangkaian 5G kedua negara.
Maxis yang dianggap dalam kedudukan utama rangkaian 5G kedua negara itu, semalam berkata, ia akan berhubung dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) berkait rasional pemilihan U Mobile.
Syarikat itu yang merupakan pengendali rangkaian mudah alih kedua terbesar di Malaysia, berkata ia mengambil masa dan sumber yang jauh lebih sedikit untuk mencapai peratus liputan kawasan berpenduduk yang sama seperti rangkaian 5G pertama.
Pengendali rangkaian terkemuka Malaysia, CelcomDigi, juga menyatakan syarikat itu berkemampuan memulakan serta-merta pembinaan rangkaian 5G untuk memadankan liputan rangkaian sedia ada.
Mohamed berkata perkhidmatan 5G seharusnya dikendalikan oleh pihak neutral bagi mengelakkan konflik dan memastikan akses yang adil kepada semua syarikat mudah alih. “Lebih baik jika semua syarikat dibenarkan mengendalikan rangkaian 5G mereka sendiri,” katanya.

Ketua rantau Asia-Pasifik bagi persatuan GSM berpangkalan di UK, Julian Gorman pula mencadangkan agar syarat lesen yang jelas ditetapkan bagi memastikan pengagihan perkhidmatan 5G yang seimbang.
“Manfaat khusus (untuk penyedia perkhidmatan) akan bergantung kepada syarat lesen U Mobile, yang masih belum didedahkan sepenuhnya.
“Jika pengendali rangkaian runcit dihadkan kepada penyedia borong tertentu, manfaat persaingan dalam pasaran borong mungkin terhad,” katanya kepada FMT.
Beliau berharap rangkaian kedua dapat meningkatkan persaingan, membolehkan penyedia perkhidmatan menurunkan harga, menjadikan perkhidmatan 5G lebih mampu milik dan meluas.
Gorman berkata tumpuan utama seharusnya adalah untuk merangsang inovasi dan transformasi 5G bagi menyokong aspirasi digital Malaysia.
Rangkaian 5G ialah generasi kelima teknologi rangkaian mudah alih dan satu standard global baharu yang menjanjikan keupayaan menghubungkan segalanya dengan kelajuan lebih tinggi, kapasiti rangkaian yang besar, dan kecekapan yang dipertingkatkan.