
“Kami akan melibat urus pihak SKMM untuk memahami rasional keputusan mereka dan akan mempertimbangkan pilihan-pilihan kami selepas perbincangan dengan semua pihak berkepentingan,” katanya dalam kenyataan.
Katanya, dengan infrastruktur rangkaian kukuh dan kepakaran Maxis, cadangan pelaksanaan rangkaian 5G dijangka mengambil masa dan sumber yang jauh lebih sedikit untuk mencapai peratus liputan kawasan berpenduduk yang sama seperti rangkaian 5G pertama.
Liputan 5G dalam bangunan turut akan disediakan di kawasan tersebut.
Pengendali rangkaian terkemuka Malaysia, CelcomDigi, juga menyatakan syarikat itu berkemampuan memulakan serta-merta pembinaan rangkaian 5G untuk memadankan liputan rangkaian sedia ada.
CelcomDigi berkata, mereka telah membentangkan kepada SKMM “cadangan teknikal dan komersial menarik” dan kini akan mengadakan perbincangan dengan pihak berkepentingan “untuk mempertimbangkan beberapa pilihan berdaya maju di hadapan “, susulan pengumuman selepas pemilihan U Mobile semalam.
Semalam, SKMM berkata, U Mobile, yang dipengerusikan taikun Vincent Tan, dipilih melaksanakan rangkaian 5G kedua negara, mengambil kira “perbincangan mendalam merangkumi aspek teknikal dan komersial”.
Maxis, pengendali mudah alih kedua terbesar negara yang dikawal oleh bilionair T Ananda Krishnan, dilaporkan berada dalam kedudukan utama untuk mengetuai pelancaran rangkaian 5G kedua negara itu.
Digital Nasional Berhad (DNB) ditubuhkan kerajaan pada 2021 sebagai syarikat tujuan khas membangunkan rangkaian 5G negara dan menawarkan pemborong perkhidmatan 5G kepada syarikat-syarikat swasta.
Susulan gerakan melobi yang kuat melibatkan rangkaian swasta, kerajaan baru diterajui Pakatan Harapan memutuskan pelaksanaan rangkaian kedua diwujudkan, menerusi penjualan 75% pegangan DNB kepada syarikat swasta.