Pemilihan Bersatu: Mas Ermieyati, Rahim Tamby Chik menang ketua bahagian

Pemilihan Bersatu: Mas Ermieyati, Rahim Tamby Chik menang ketua bahagian

Mas Ermieyati Samsudin kekal ketua Bersatu Masjid Tanah manakala Abdul Rahim Tamby Chik menang di Alor Gajah.

Mas Ermieyati Samsudin memperoleh 150 undi di Masjid Tanah, manakala Abdul Rahim Tamby Chik menewaskan lawannya di Alor Gajah dengan 105 undi.
MELAKA:
Ahli Parlimen Masjid Tanah Mas Ermieyati Samsudin mengekalkan jawatan sebagai ketua Bersatu Masjid Tanah dalam pemilihan parti itu yang berlangsung semalam.

Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP) Bersatu Melaka dalam kenyataan hari ini memaklumkan, Mas Ermieyati yang juga ketua Wanita Bersatu menerima 150 undi manakala lawannya, bekas pengerusi tetap bahagian itu, Rosni Sham Samion, hanya meraih empat undi.

Dalam pada itu, bekas ketua menteri Melaka Abdul Rahim Tamby Chik menang jawatan ketua bahagian Alor Gajah dalam saingan satu lawan satu.

Beliau menerima 105 undi sekali gus menewaskan pencabarnya, Mohd Zamri Abu Bakar, yang memperoleh 56 undi.

Di Tangga Batu pula, Ramlan Meon menang jawatan ketua bahagian dengan 79 undi, menewaskan bekas jurukamera sambilan TV3 Mohd Hanafiah Hamzah yang meraih 26 undi.

Penyandang jawatan ketua bahagian Hang Tuah Jaya Mohd Azrudin Md Idrus menang tanpa bertanding selepas tidak dicabar mana-mana pihak.

Bersatu Jasin dan Kota Melaka pula sedang digantung dan hanya dibenarkan bersidang serta pemilihan pucuk pimpinan parti itu pada Disember.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.