Ketua, 15 AJK keluar parti, Bersatu Tenggara didakwa bubar

Ketua, 15 AJK keluar parti, Bersatu Tenggara didakwa bubar

Bekas ketua bahagian Hassan Rasid berkata mereka hilang keyakinan terhadap kepimpinan tertinggi yang gagal menguruskan parti dan tidak telus menjalankan tanggungjawab.

Hassan Rasid
Bekas ketua Bersatu Bahagian Tenggara Hassan Rasid mendakwa pimpinan tertinggi tidak cermat kerana menghantar notis rasmi pembatalan pemilihan tiga cawangan sehari sebelum ia berlangsung. (Gambar Facebook)
KOTA TINGGI:
Bersatu Bahagian Tenggara didakwa terbubar serta-merta susulan keputusan ketua dan 30 ahlinya, termasuk 15 ahli jawatankuasa (AJK) bahagian itu mengumumkan keluar parti.

Bekas ketua Bersatu Bahagian Tenggara, Hassan Rasid, berkata keputusan itu dibuat sebulat suara selepas mempertimbangkan beberapa faktor, termasuk hilang keyakinan terhadap kepimpinan tertinggi yang dilihat gagal menguruskan parti, selain tidak telus dalam melaksanakan tanggungjawab.

Beliau mendakwa pimpinan tertinggi tidak cermat kerana menghantar notis rasmi pembatalan pemilihan cawangan Kota Jaya Selatan, Bandar Tenggara Selatan dan Sungai Telor sehari sebelum ia berlangsung.

“Sayap Wanita di cawangan Bandar Tenggara Selatan, Pengeli Timur, Pelepah Valley yang layak bersidang juga tidak tersenarai dalam perwakilan pemilihan Jawatankuasa Wanita Bahagian Tenggara, malah jawatankuasa itu juga digantung daripada bersidang,” katanya semalam.

Hassan berkata, beliau dan wakil beberapa cawangan terlibat turut membuat lima laporan polis susulan isu pengurusan parti itu.

Beliau mendakwa kira-kira 500 ahli cawangan terbabit dijangka mengikut jejak mereka meninggalkan Bersatu.

Bersatu Bahagian Tenggara mempunyai 19 cawangan dengan keseluruhan 1,263 ahli.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.