JPJ panggil semula lebih 3,700 kenderaan Perodua, Honda

JPJ panggil semula lebih 3,700 kenderaan Perodua, Honda

Arahan tersebut dikeluarkan susulan masalah lampu utama tidak patuhi peraturan spesifikasi dan masalah pada sensor kelajuan roda.

Antara kenderaan dipanggil semula termasuk Perodua Alza, Aruz dan motosikal Honda CB350R. (Gambar Perodua)
PUTRAJAYA:
Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) memanggil semula 3,722 kenderaan, termasuk kereta Perodua Alza dan Aruz serta motosikal Honda CB350R.

Ketua Pengarah JPJ Aedy Fadly Ramli berkata, tindakan dibuat susulan masalah ketinggian sasaran lampu utama tidak memenuhi peraturan spesifikasi melibatkan 2,518 kereta Perodua Alza model 1500 X transmisi boleh laras berterusan (CVT), 1500 H CVT dan 1500 AV CVT serta 1,139 Perodua Aruz model 1500 X dan 1500 AV.

Bagi Honda CB350RS, katanya, panggilan semula ini melibatkan 65 motosikal yang dikesan mempunyai masalah pada sensor kelajuan roda menyebabkan Sistem Brek Anti Kunci (ABS), kawalan cengkaman dan meter had laju tidak tepat.

“Mana-mana komponen yang terlibat dengan isu tersebut akan digantikan dengan kos yang ditanggung oleh pengeluar kenderaan berkenaan, iaitu Perodua Manufacturing Sdn Bhd dan Boon Siew Honda Sdn Bhd,” katanya dalam kenyataan.

“Setiap pemilik kenderaan terlibat akan dihubungi oleh Perodua dan Boon Siew Honda bagi proses penyelarasan slot pemeriksaan kenderaan masing-masing. Pemilik turut dibenarkan ‘walk-in’ ke mana-mana pusat servis berhampiran di seluruh negara.”

Aedy Fadly menasihatkan semua pemilik kenderaan model terlibat untuk membuat perancangan bagi membolehkan proses pemanggilan semula dan pemeriksaan kenderaan dapat dijalankan secepat mungkin.

Untuk maklumat lanjut, semua pemilik kenderaan terbabit digalakkan menghubungi Perodua di talian 1-800-88-6600, melayari laman sesawang https://www.ufirst.com.my/member/login atau melalui aplikasi U-First.

Pemilik motosikal Honda CB350R boleh menghubungi Boon Siew Honda di talian 1-800-88-3993 atau https://boonsiewhonda.com.my/after-sales/recall-campaign/.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.