Dakwaan ‘bantu’ perang Rusia, 6 syarikat Malaysia disekat AS

Dakwaan ‘bantu’ perang Rusia, 6 syarikat Malaysia disekat AS

Syarikat itu dikenakan sekatan atas dakwaan membolehkan Rusia 'melaksanakan perang haram' terhadap Ukraine.

Jabatan Negara AS berkata, sekatan itu sasar pengeluar, pengeksport, dan pengimport barangan penting kepada asas industri ketenteraan Rusia. (Gambar Wikipedia)
KUALA LUMPUR:
Enam syarikat berpangkalan di Malaysia antara hampir 400 entiti dan individu dikenakan sekatan Jabatan Negara Amerika Syarikat (AS) kerana beroperasi atau pernah beroperasi dalam sektor pembuatan Rusia.

Syarikat yang disenaraikan itu ialah Zeolite Mansford Sdn Bhd (Zeolite), Centrina United Sdn Bhd (Centrina), Gyntec Carbon Sdn Bhd (Gyntec), Moralability Industry Sdn Bhd (Moralability), dan Melix Global Sdn Bhd (Melix Global).

Dalam kenyataan pada 30 Okt, Pejabat Jurucakap itu memaklumkan bahawa hampir 400 entiti dan individu telah dikenakan sekatan kerana membolehkan Rusia “melaksanakan perang haramnya”.

Kenyataan itu menyatakan, Jabatan Negara sedang mengenakan sekatan ke atas lebih 120 individu dan entiti.

“Penyenaraian Jabatan Negara bertujuan untuk mengganggu usaha mengelak sekatan dan menyasarkan entiti di pelbagai negara ketiga, termasuk Republik Rakyat China (PRC), India, Malaysia, Thailand, Turki, dan Emiriah Arab Bersatu.

“Semua sasaran disenaraikan mengikut Perintah Eksekutif (E.O.) 14024 yang membenarkan sekatan terhadap aktiviti asing berbahaya tertentu oleh Kerajaan Persekutuan Rusia,” menurut kenyataan itu.

Pejabat Jurucakap itu turut memaklumkan bahawa sekatan itu menyasarkan pengeluar, pengeksport, dan pengimport barangan yang penting kepada asas industri ketenteraan Rusia.

“Barangan itu termasuk mikroelektronik dan item kawalan berangka komputer (CNC) dalam Senarai Keutamaan Tinggi Biasa (CHPL), seperti yang dikenal pasti oleh Biro Industri dan Keselamatan (BIS) Jabatan Perdagangan AS bersama Kesatuan Eropah (EU), United Kingdom (UK), dan Jepun,” tambahnya.

Kenyataan itu juga menyatakan bahawa Amerika Syarikat akan terus menggunakan semua alat yang ada untuk mengganggu sokongan terhadap asas industri ketenteraan Rusia dan menyekat keupayaan Kremlin untuk mengeksploitasi sistem kewangan antarabangsa serta menjana pendapatan bagi meneruskan perangnya terhadap Ukraine.

“Kami terus berdiri dalam solidariti dengan Ukraine untuk mempertahankan tanah airnya daripada pencerobohan Rusia,” tambahnya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.