Bekas suami sesak nafas, keputusan belasah isteri hingga koma ditunda

Bekas suami sesak nafas, keputusan belasah isteri hingga koma ditunda

Hakim menetapkan 9 Dis ini untuk keputusan di akhir pembelaan kes.

Rosmaini Abd Raof didakwa memukul kepala, muka, tangan dan menghentak kaki di belakang badan Jahidah Nordin@Sylvester hingga parah tiga tahun lalu. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Keputusan kes peniaga didakwa menyebabkan bekas isteri ketiganya, Jahidah Nordin@Sylvester parah hingga koma tiga tahun lalu ditangguh ke 9 Dis ini disebabkan tertuduh tidak hadir ke mahkamah hari ini.

Hakim Fatimah Zahari membuat keputusan itu selepas peguam Mohd Salleh Togimin memaklumkan anak guamnya, Rosmaini Abd Raof, 41, dimasukkan ke Hospital Pendang akibat sesak nafas petang semalam.

“Saya dimaklumkan isteri tertuduh, dia diserang sesak nafas sehingga tidak sedarkan diri selepas bermain bola sepak petang semalam.

“Bagaimanapun, saya tidak berhubung secara langsung dengan tertuduh, sebaliknya hanya dimaklumkan isterinya,” katanya menurut Berita Harian sambil menyerahkan surat kemasukan hospital, nombor wad dan katil tertuduh kepada mahkamah.

Hakim menetapkan 9 Dis ini untuk keputusan di akhir pembelaan kes.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Siti Fatimah Mamu. Selain Salleh, tertuduh turut diwakili Kamal Hisham Jaafar dan Aina Kamila Zalizam.

Peguam pemerhati yang mewakili keluarga Jahidah, Muhammad Hazeem Mohd Norizan dan Syufri A Samad turut menghadiri prosiding itu.

Pada 17 Jun 2021, Rosmaini mengaku tidak bersalah atas pertuduhan menyebabkan Jahidah cedera parah tiga tahun lalu dan Mahkamah Sesyen Johor Bahru pada 17 Jan lalu memerintahkan tertuduh membela diri.

Mengikut kertas pertuduhan, dia didakwa sengaja menyebabkan Jahidah cedera dengan memukul kepala, muka dan tangan serta menghentak kaki di belakang badan isterinya sehingga menyebabkannya parah.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah pangsapuri di Jalan Tani, Kampung Aman, Larkin kira-kira 6 pagi 4 Mei 2021.

Pendakwaan dilakukan mengikut Seksyen 325 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara hingga tujuh tahun dan denda, serta dibaca bersama Seksyen 326A Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara dua kali ganda tempoh maksimum mengikut seksyen kesalahan.

Kes Jahidah menggemparkan negara kerana dibelasah hingga parah dan koma ketika hamil. Beliau selamat melahirkan bayi lelaki, Eshan Nufail melalui pembedahan pada 30 Nov 2021.

Pada 15 Mac 2023, Mahkamah Rendah Syariah Seremban membenarkan permohonan fasakh difailkan keluarga Jahidah pada 1 Feb tahun sama.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.