Selangor tak sorok maklumat tanah runtuh Batang Kali, kata MB

Selangor tak sorok maklumat tanah runtuh Batang Kali, kata MB

Amirudin Shari berkata laporan kejadian itu disediakan Jabatan Kerja Raya dan pihak berkuasa lain, bukannya kerajaan Selangor.

tanah runtuh landslide
Menteri Besar Selangor Amirudin Shari berkata laporan menyebut tragedi tanah runtuh di Batang Kali pada 16 Dis 2022 berpunca daripada bencana alam di luar kawalan kerajaan negeri.
PETALING JAYA:
Kerajaan Selangor tidak menyorok sebarang maklumat tragedi tanah runtuh di Batang Kali yang meragut 31 nyawa dua tahun lalu, kata Menteri Besar, Amirudin Shari.

Menurutnya, laporan kejadian itu disediakan Jabatan Kerja Raya (JKR) dan pihak berkuasa lain, bukannya kerajaan negeri.

“Jika mangsa rasa ada kes, mereka bebas mengambil tindakan (perundangan), tetapi kerajaan negeri berpandukan laporan yang dikemukakan kepada mereka untuk disemak.

“Laporan menyebut kejadian itu disebabkan tindakan semula jadi (bencana alam) yang di luar kawalan kerajaan negeri,” katanya menurut Sinar Harian selepas Program Rewang Komuniti Strata Selangor di Pangsapuri Baiduri Bandar Tasik Kesuma, Kajang.

Beliau berkata, kerajaan negeri meminta bahagian perundangan merujuk dan melihat isu itu secara terperinci.

“Hal tersebut diteliti sejak sebulan selepas kejadian, sebab itu laporan insiden dikemukakan kepada mangsa dan waris. Tiada perkara disorokkan, no hide dan laporan itu bukan kerajaan negeri yang buat, tetapi oleh JKR dan badan autoriti berdasarkan fakta.”

Sebelum ini, media melaporkan 23 mangsa dan waris individu terkorban dalam tragedi 16 Dis 2022 itu menyaman kerajaan Selangor serta enam pihak lain atas dakwaan gagal menunaikan tanggungjawab serta kecuaian.

Mereka menuntut ganti rugi am, teruk dan kerugian tidak ketara yang tidak terhad kepada kesakitan serta penderitaan, tekanan emosi dan mental termasuk ganti rugi khas lebih RM1 juta.

Ditanya jika pihaknya sudah menerima surat saman itu, Amirudin berkata, pihaknya perlu menyemak terlebih dahulu dan prosesnya mungkin mengambil masa kerana masih di peringkat awal membabitkan mahkamah serta perbincangan dengan peguam.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.