Dari B40/M40/T20 ke PAKW – merintis program bantuan berkesan

Dari B40/M40/T20 ke PAKW – merintis program bantuan berkesan

PAKW yang menentukan kos sara hidup asas mengikut lokasi serta faktor lain akan menjadi strategi kerajaan Madani untuk memastikan kesejahteraan segenap lapisan masyarakat.

Perbelanjaan Asas Kehidupan Wajar (PAKW) akan menekankan kepada aspek untuk membantu rakyat menikmati kehidupan wajar.
PETALING JAYA:
Malaysia kini merombak sistem klasifikasi sosioekonomi negara.

Sebelum ini, kerajaan mencerakinkan isi rumah kepada kumpulan berpendapatan rendah (B40), pertengahan (M40), dan tinggi (T20). Namun, klasifikasi itu mempunyai kelemahan, terutama bagi penentuan siapa yang benar-benar memerlukan bantuan sosioekonomi.

Jadi, apakah klasifikasi baharu dan yang ditambah baik.

 Kos kehidupan wajar

Pengenalan Perbelanjaan Asas Kehidupan Wajar (PAKW).

Pengukuran baharu yang merujuk kepada Perbelanjaan Asas Kehidupan Wajar dilancarkan hari ini. Kelebihan utama PAKW berbanding pengelasan B40/M40/T20 adalah ia dirumus secara khusus berlainan dengan pendekatan ‘satu saiz untuk semua’.

Sistem terdahulu adalah berasaskan pendapatan kasar isi rumah atau jumlah pendapatan isi rumah secara kolektif. Bagaimanapun, setiap isi rumah berdepan kos sara hidup yang berbeza, walaupun mereka mempunyai pendapatan kasar yang sama. Justeru, setiap isi rumah mempunyai keperluan berbeza.

Perbezaan ini wajib ditangani bagi memastikan pertumbuhan ekonomi dan pembangunan adalah benar-benar inklusif.

Di bawah PAKW, kerajaan Madani menggunakan data untuk menentukan perbelanjaan bagi isi rumah Malaysia berkemampuan menikmati tiga perkara utama: barang keperluan seperti makanan, kehendak seperti hiburan dan penyertaan dalam aktiviti kemasyarakatan.

Apabila isi rumah mampu mendapatkan semua perkara di atas, mereka dianggap mempunyai kehidupan yang wajar.

Menjadikan kehidupan lebih baik

Namun, apakah kepentingan mempunyai kehidupan yang wajar? Mengapa ia penting sehingga PAKW memberi penekanan kepada kehidupan wajar berbanding pendapatan kasar atau kemiskinan?

Pertama, penumpuan kepada pengelasan pendapatan B40/M40/T20 tidak mencerminkan realiti semasa ekonomi harian didepani oleh rakyat.

Bagi kumpulan M40 berpendapatan RM8,000 sebulan mungkin tampak berpendapatan tinggi, tetapi keluarga berkenaan berkemungkinan tidak menikmati kehidupan selesa selepas perbelanjaan ke atas makanan, tempat tinggal, penjagaan anak-anak dan kesihatan serta keperluan lain.

Selain itu, pendekatan Pendapatan Garis Kemiskinan hanya menentukan pendapatan minimum diperlukan bagi memenuhi keperluan asas kehidupan. Pendekatan ini diguna pakai dalam usaha pembasmian kemiskinan.

Tetapi dengan penentuan perbelanjaan asas kehidupan wajar, kerajaan Madani menyasarkan lebih daripada sekadar kelangsungan hidup. Sebaliknya, kerajaan berhasrat memberikan kehidupan bermakna dan wajar kepada rakyat Malaysia.

Akhirnya, peralihan fokus kepada PAKW menjadi langkah munasabah mengambil kira sasaran sosioekonomi negara.

Bank Dunia meramalkan Malaysia akan mencapai status negara berpendapatan tinggi pada 2028. Dengan purata gaji yang berpotensi untuk meningkat, membolehkan indikator baharu PAKW yang mengukur pendapatan boleh guna bersih akan melengkapkan pengukuran sedia ada bagi kemiskinan dan pendapatan isi rumah bersih.

Melalui PAKW, kerajaan akan menambah baik penyasaran bantuan sosial, seperti subsidi, kepada isi rumah rentan yang tidak mampu menjalani kehidupan wajar.

PAKW berperanan meminimumkan apa yang dikenali sebagai ralat kemasukan dan pengecualian dalam menyalurkan bantuan.

Contohnya, apabila isi rumah berpendapatan RM50,000 sebulan menerima subsidi bahan bakar, walaupun isi rumah itu mempunyai beberapa perbelanjaan lain, itu adalah ralat kemasukan.

Namun, apabila isu rumah berpendapatan RM8,000 sebulan yang mempunyai tanggungan kewangan tidak menerima subsidi bahan bakar, ia adalah ralat pengecualian.

PAKW juga akan menjadi panduan dalam pelaksanaan dasar kerajaan. Dalam perkara di mana isi rumah tidak mampu menjalani kehidupan yang wajar, Putrajaya akan melakukan intervensi dalam cara lebih bersasar. Contohnya, mewujudkan peluang pekerjaan dan merangsang aktiviti ekonomi dalam bidang tertentu.

Pengukuran PAKW

Penting untuk mengambil perhatian PAKW yang dilancarkan hari ini sebenarnya mengandungi dua set angka.

Pertama, perbelanjaan asas kehidupan wajar bagi semua isi rumah di sesuatu kawasan. Kedua, perbelanjaan asas kehidupan wajar bagi isi rumah perseorangan di sesuatu kawasan.

Dalam erti kata lain, setiap isi rumah Malaysia akan mengetahui berapa perbelanjaan yang diperlukan untuk menjalani kehidupan wajar berdasarkan ciri-ciri khusus isi rumah itu sendiri.

Pengiraan PAKW adalah berdasarkan beberapa faktor, salah satu daripadanya adalah lokasi. Ini kerana kos sara hidup contohnya, di Kuala Lumpur, adalah jauh berbeza dari segi keperluan, kehendak dan penyertaan dalam masyarakat di Gemas atau Sandakan.

Bagaimanapun, Kementerian Ekonomi dan Jabatan Perangkaan Malaysia, yang menyediakan maklumat Pangkalan Data Utama (Padu), akan mengambil kira faktor lain dalam pengiraan PAKW. Ini termasuk bilangan isi rumah sama ada mereka memerlukan keperluan khusus, seperti penjagaan warga emas atau orang kurang upaya.

Hala Tuju PAKW

Peralihan daripada kumpulan pendapatan B40, M40 dan T20 ke arah PAKW, berpotensi menjadikan dasar sosioekonomi Malaysia-termasuk mewujudkan peluang pekerjaan dan bantuan kebajikan menjadi semakin cekap.

Namun, peluncuran PAKW hanya langkah permulaan.

Contohnya, mewujudkan mekanisme maklum balas bagi Indeks Kos Sara Hidup, yang akan diluncur pada November adalah bermanfaat. Ini kerana akyat Malaysia boleh memberikan input ke atas kos sara hidup di sesuatu kawasan dengan lebih tepat.

Bagi memastikan penggunaan PAKW dapat meningkatkan kehidupan rakyat Malaysia, pengukuran PAKW perlu ditambah baik secara berterusan. Ini bermakna, menangani cabaran seperti memberikan nilai kepada perkara subjektif seperti penyertaan dalam kemasyarakatan, penyesuaian kepada inflasi dan realiti perubahan ekonomi.

Paling penting, PAKW perlu dilengkapkan dengan dasar yang memberikan manfaat seperti menanggapi perbezaan kos sara hidup dalam dan antara wilayah, baharulah PAKW mampu diterjemah daripada hanya angka kepada kehidupan wajar untuk semua.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.