
Menurut AJP, Ketua Pengarah Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP), Amir Matamin selaku pendaftar Pertubuhan Peladang sepatutnya menegur, menasihati dan berunding semua semua pihak berkepentingan bagi menyelesaikan konflik atau ketidakharmonian didakwanya terlebih dahulu.
“Ahli-ahli Peladang maklum dan sedar isu konflik dan ketidakharmonian dalaman hanya berlaku setelah menteri pertanian dan keterjaminan makanan menggunakan kuasanya melantik seorang pemimpin parti politik sebagai pengurus besar Nafas berkuat kuasa Mac 2023,” katanya menurut Sinar Harian.
AJP Nafas yakin keputusan penggantungan itu ada hubung kait tindakan serta keputusan AJP menggantung tugas pengurus besar baharu susulan dakwaan salah laku.
Mereka juga akan membuat rayuan kepada Perdana Menteri Anwar Ibrahim serta Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Mohamad Sabu mengikut Seksyen 21 Akta Pertubuhan Peladang 1973.
Katanya, AJP juga sedia memberi kerjasama kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan pihak berkuasa lain bagi memastikan tadbir urus, sistem tatakelola dan kewangan telus dalam memerangi penyalahgunaan kuasa serta penyelewengan.
Semalam, Amir dilaporkan berkata, beliau mengeluarkan arahan penggantungan Perlembagaan Nafas bawah Seksyen 20 (1) Akta Pertubuhan Peladang 1973 susulan konflik dalaman dan ketidakharmonian yang menjejaskan operasi serta fungsi Nafas.
Anwar hari ini dilaporkan mahu siasatan tanpa pengecualian susulan penggantungan Nafas.