
Khazanah dan PNB mengalami kerugian RM43.9 juta selepas menjual pegangan mereka dalam platform e-dagang FV dengan hanya RM3.1 juta, setelah masing-masing pada mulanya melabur RM27 juta dan RM20 juta.
Menerusi hantaran di Instagram hari ini, mereka memohon maaf kepada Khazanah dan PNB atas kontroversi yang mengaitkan kedua-dua entiti itu, dan menegaskan mereka mengambil tanggungjawab penuh atas kegagalan pelaburan tersebut.
“Kami rasa sudah tiba masanya kami berundur daripada perniagaan (FV) dan melepaskan jawatan kami,” kata pengasas bersama FV itu.
“Kami tidak mahu isu akan datang terus menjejaskan syarikat, memandangkan ia pada peringkat pemulihan.”
Vivy, ketua pegawai eksekutif (CEO) FV, dan Fadza, pengarah eksekutif FashionValet Group berkata, mereka cuba mengembangkan syarikat itu terlalu agresif dengan menambah bilangan pekerja dan kedai, sambil menjangkakan pertumbuhan berterusan.
Apabila wabak Covid-19 melanda, mereka tidak bersedia dan langkah-langkah penjimatan kos yang diambil tidak dapat membantu keadaan syarikat itu.
“Banyak perkara yang sepatutnya kami lakukan berbeza, banyak faktor yang patut kami pertimbangkan sebelum melaksanakan pelan pengembangan,” kata mereka.
“Kami juga terus menunjukkan imej positif dan penuh harapan, dengan naifnya berfikir, dengan cara itu, kami mampu menerapkan keyakinan terhadap jenama dan produk kami.
“Sebagai dua individu yang menguruskan syarikat ini, ini tanggungjawab kami, dan hakikatnya, kami telah mengecewakan pelabur. Kami kecewa dengan diri sendiri dan kesal dengan penyudahan ini. Kami benar-benar minta maaf.”
Awal minggu ini, Kementerian Kewangan berkata, Khazanah melabur dalam FV pada 2018 sebagai sebahagian usaha pada ketika itu untuk memupuk usahawan teknologi tempatan dan mendapat pendedahan dalam sektor e-dagang yang pesat berkembang.
Pada masa sama, PNB mahu menyokong syarikat runcit digital milik Bumiputera yang sedang maju dan membantu syarikat-syarikat ini menjadi platform jualan serantau bagi jenama Malaysia.
Semalam, jurucakap kerajaan perpaduan Fahmi Fadzil menggesa Khazanah dan PNB menjelaskan kerugian dialami mereka, memandangkan ia melibatkan dana awam.
Beliau bagaimanapun meminta orang ramai memberi masa kepada kedua-dua entiti itu untuk mengeluarkan kenyataan rasmi.