Perlembagaan Nafas digantung berkuat kuasa hari ini

Perlembagaan Nafas digantung berkuat kuasa hari ini

Sepanjang tempoh penggantungan, Nafas akan terus beroperasi seperti biasa, diuruskan oleh pentadbir dilantik pendaftar Pertubuhan Peladang.

Pendaftar Pertubuhan Peladang menggantung perlembagaan Nafas, berkuat kuasa hari ini, susulan konflik dalaman dan ketidakharmonian yang telah menjejaskan operasi dan fungsinya. (Gambar NAFAS)
KUALA LUMPUR:
Perlembagaan Pertubuhan Peladang Kebangsaan (Nafas) digantung berkuat kuasa hari ini, bagi menambah baik tatakelola dan tadbir urus pertubuhan itu.

Ketua Pengarah Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) Amir Matamin berkata, selaku pendaftar Pertubuhan Peladang, beliau mengeluarkan arahan itu bawah Seksyen 20(1) Akta Pertubuhan Peladang 1973 (Akta 109), susulan konflik dalaman dan ketidakharmonian yang telah menjejaskan operasi dan fungsi Nafas.

“Dengan perintah yang dikuatkuasakan hari ini, Nafas mempunyai hak selaras dengan Seksyen 21 Akta Pertubuhan Peladang untuk merayu kepada Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Mohamad Sabu dalam tempoh 30 hari daripada tarikh perintah ini.

“Keputusan menteri adalah muktamad dan tidak boleh dirayu atau dipersoalkan di mana-mana mahkamah,” katanya pada sidang media Reformasi Tatakelola Nafas yang turut dihadiri Pengerusi LPP Mahfuz Omar.

Amir berkata, semasa tempoh penggantungan, pentadbir-pentadbir yang dilantik oleh beliau akan menguruskan hal ehwal pertubuhan itu.

Bagaimanapun, katanya, Nafas masih terus beroperasi seperti biasa, dengan kakitangan dan pegawai sedia ada akan meneruskan sebarang urusan bawah arahan pentadbir.

Pada masa yang sama, beliau akan terus memantau tindakan-tindakan yang akan dilaksanakan dengan memfokus kepada pemulihan semula pertubuhan itu, selaras dengan objektif memperkasakan semua tatakelola dan tadbir urus yang baik, untuk kepentingan peladang-peladang.

Sementara itu, Mahfuz berkata, Mohamad telah mengeluarkan arahan untuk memperbaiki tatakelola dan tadbir urus Nafas selama sembilan bulan sejak 7 Feb yang berakhir semalam.

“Dalam tempoh perintah ini, Nafas diarahkan untuk menambah baik sistem tatakelola dan mematuhi arahan-arahan yang dikeluarkan oleh pendaftar,” katanya.

“Bagaimanapun, dalam tempoh moratorium ini, telah berbangkit isu-isu yang menjurus kepada konflik dan ketidakharmonian dalaman dalam kalangan Jemaah Pengarah Nafas dengan Pengurusan Eksekutif Nafas,” katanya.

Perkara ini, katanya, telah menjejaskan operasi dan matlamat Nafas, sehingga kepentingan am peladang juga terjejas.

Ditanya mengenai siasatan penyelewengan dan ketirisan projek pembekalan baja padi, Amir berkata, pihaknya menyerahkan perkara itu kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

“Kita tiada maklumat. SPRM belum buat apa-apa laporan kepada pendaftar. Pendaftar akan membuat siasatan dalaman bawah Seksyen 20(1), yang pendaftar sendiri mempunyai punca kuasa untuk audit dan buat siasatan dalaman mengikut Seksyen 19,” katanya.

Selasa lepas, Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki mengesahkan pihaknya memulakan siasatan dan pembongkaran berhubung penyelewengan dan ketirisan projek pembekalan baja padi sebuah pertubuhan bawah kementerian terbabit.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.