
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Perkeso Mohammed Azman Aziz Mohammed berkata, Ops Kesan Pekerja Asing 2024 julung kali dilaksanakan bagi mengesan majikan yang gagal mendaftar dan mencarum pekerja asing termasuk ekspatriat serta pekerja domestik yang layak bawah Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969 (Akta 4).
“Sehingga 30 Sept lepas, data Perkeso menunjukkan hanya sekitar 88% pekerja asing di Malaysia telah mendaftar dengan pertubuhan ini,” katanya dalam kenyataan.
“Lebih membimbangkan dalam kalangan pekerja domestik asing, kadar pendaftaran mencapai 59% sahaja, sekali gus membuktikan langkah penguatkuasaan yang diambil tepat pada masanya.
“Perangkaan tersebut menunjukkan masih ada pekerja asing yang tidak memiliki sebarang perlindungan keselamatan sosial sekiranya berlakunya kemalangan atau kecederaan yang tidak terjangka sepanjang tempoh bekerja di Malaysia.”
Beliau berkata, pendaftaran dan caruman Perkeso bukan bertujuan membebankan majikan, sebaliknya untuk menjamin hak pekerja asing mendapat perlindungan keselamatan sosial mengikut piawaian antarabangsa.
Selain itu, katanya, isu sampingan yang kerap berlaku semasa siasatan termasuk penyalahgunaan pas kerja dalam kalangan pekerja asing yang semakin berleluasa, mengakibatkan pekerja asing yang mengalami kemalangan atau kecederaan tidak layak menerima perlindungan keselamatan sosial yang selayaknya bawah faedah Perkeso.
Mohammed Azman, berkata kesalahan gagal atau lewat mendaftar perusahaan atau pekerja boleh mengakibatkan pemilik perusahaan dipenjara sehingga dua tahun atau denda tidak melebihi RM10,000 atau kedua-duanya.