
Dalam kenyataan, Khazanah memaklumkan pihaknya menerima tawaran untuk membeli pegangan saham sedia ada dan menyuntik modal ke dalam syarikat itu, “memandangkan syarikat memerlukan dana segera untuk meneruskan operasi, dan tempoh pegangan pelaburan yang telah mencapai had sasaran”.
“Penjualan ini adalah satu langkah keluar yang bertanggungjawab untuk mengalih pemilikan kepada pihak yang mampu membantu mendorong syarikat ke arah trajektori pertumbuhan baru,” katanya dalam kenyataan itu.
Terdahulu hari ini, pengasas Fashion Valet yang juga ikon fesyen tempatan Vivy Yusof dan suaminya, Fadzarudin Anuar (Fadza) mengumumkan melepaskan jawatan mereka dalam syarikat itu.
Pasangan itu juga meminta maaf atas kontroversi dan kerugian yang dialami Khazanah dan PNB.
Tawaran pengambilalihan syarikat itu dilaporkan dibuat pada akhir 2023 oleh NXBT Partners, sebuah syarikat pemegangan pelaburan yang dikawal oleh Afzal Abdul Rahim, CEO TIME dotCom Bhd.
Khazanah dipercayai memiliki pegangan sebanyak 32.34% dalam TIME dotCom.
Menurut kenyataan itu lagi, tawaran pengambilalihan Fashion Valet datang daripada ‘usahawan berpengalaman Malaysia’ yang menawarkan untuk memperoleh kepentingan pemegang saham sedia ada dan menyuntik modal ke dalam Syarikat.
Khazanah memaklumkan ia melabur RM27 juta untuk memperoleh 9% kepentingan dalam Fashion Valet pada 2018 kerana potensinya dengan lebih daripada 400 jenama dan 15,000 produk di platformnya serta menjangkakan pertumbuhan pendapatan sekitar 60% setahun.
Bagaimanapun, syarikat itu menghadapi cabaran yang diperburukkan oleh wabak Covid-19 memaksa Fashion Valet menumpukan pada pertumbuhan jenama milik penuh, Duck dan Lilit, bagi mengekalkan margin operasi dan aliran tunai.
Katanya, syarikat terus menghadapi cabaran termasuk pengumpulan dana dalam persekitaran yang sukar pada 2022 hingga 2023.
Sebagai dana kekayaan berdaulat negara, Khazanah berkata, ia akan terus melabur secara bertanggungjawab dan mengurus aset untuk pulangan pelbagai generasi yang mampan bagi negara.