Rundingan Petros-Petronas bakal dimuktamad masa terdekat

Rundingan Petros-Petronas bakal dimuktamad masa terdekat

Bagaimanapun, Menteri Utiliti dan Telekomunikasi negeri Julaihi Narawi tegaskan Petros kekal sebagai agregator gas tunggal.

oil rig petronas
Abang Johari Openg dilaporkan berkata isu pengagihan gas tidak perlu diselesaikan menerusi timbang tara. (Gambar AFP)
PETALING JAYA:
Kerajaan Sarawak mengesahkan Petroleum Sarawak Bhd (Petros) dan Petroliam Nasional Berhad (Petronas) masih berunding berhubung pelaksanaan Ordinan Pengagihan Gas.

Bagaimanapun, Menteri Utiliti dan Telekomunikasi negeri Julaihi Narawi menegaskan bahawa Petros kekal sebagai agregator gas tunggal walaupun perbincanganan terbabit masih berjalan.

“Kerajaan Sarawak mengulangi bahawa di bawah Ordinan tersebut, Petros dilantik sebagai Agregator Gas Tunggal. Tiada Agregator Gas lain di negeri ini,” katanya dalam kenyataan sambil mengesahkan rundingan itu akan dimuktamadkan dalam masa terdekat.

Semalam Petronas menjelaskan, pihaknya masih dalam perbincangan dengan Petros mengenai cadangan pelaksanaan Ordinan Pengagihan Gas.

Memetik kenyataan syarikat minyak dan gas negara itu, perbincangan yang berterusan ini bertujuan menyelaraskan kepentingan serta objektif semua pihak di samping memelihara pengaturan kontrak sedia ada.

“Perbincangan itu juga bertujuan bagi memastikan komitmen kepada pelabur dan pelanggan terus dipenuhi,” lapor Bernama.

Sebelum ini, Premier Sarawak Abang Johari Openg dilapor berkata perbincangan antara Petronas dan Petros mengenai pengagihan gas asli di negeri itu dijangka selesai tidak lama lagi.

Memetik Borneo Post, rundingan antara Sarawak dan Petronas itu kini ‘hanya sekadar melibatkan pengaturan teknikal’, katanya.

Abang Johari juga berkata isu itu tidak perlu diselesaikan menerusi timbang tara, dan memaklumkan Sarawak beroperasi bawah dua undang-undang dalam isu pengagihan gas asli, iaitu Akta Kemajuan Petroleum dan Ordinan Perlombongan Minyak.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.