
Beliau berkata kesediaan dan keberanian syarikat itu untuk membeli keseluruhan pegangan saham KDA FC amat dihargai memandangkan perniagaan dalam industri sukan bola sepak terlalu mencabar.
Sehubungan itu, katanya beliau ingin mengundang syarikat terbabit atau mana-mana individu atau syarikat lain yang berminat, untuk menghantar surat hasrat atau surat tawaran secara rasmi kepada KDA FC.
“Pihak pemegang saham KDA FC tidak ada halangan untuk mempertimbangkan mana-mana tawaran yang munasabah demi kepentingan dan kelangsungan KDA FC.
“Masa depan KDA FC adalah lebih penting daripada mana-mana kepentingan yang lain,” katanya dalam kenyataan.
Sebelum ini, media melaporkan DSAT Group Sdn Bhd menyatakan hasrat untuk mengambil alih semua kepentingan saham dan liabiliti dalam Darulaman Football Club Sdn Bhd (DFCSB) sekali gus menjadi pemilik baharu pasukan KDA FC.
Pengerusi Eksekutif Kumpulan DSAT Group, Azizul Tandek, dilapor berkata pihaknya berharap tawaran berkenaan akan dipertimbangkan oleh semua pihak berkepentingan yang berada dalam pengurusan tertinggi KDA FC bagi kebaikan semua pihak, terutama masa depan skuad Hijau Kuning.
Sementara itu, Daud memaklumkan bahawa sehingga kini KDA FC masih belum menerima bantuan atau penajaan berimpak tinggi daripada mana-mana pihak bagi menyelesaikan kemelut serta krisis gaji pemain yang tertunggak.
“Alhamdulillah, walaupun dalam serba kekurangan, pihak kelab masih mampu meneruskan operasi wajib pasukan seperti pengelolaan perlawanan di tempat sendiri mahupun tempat lawan dalam kos yang minimum.
“Saya juga merakamkan setinggi-tinggi penghargaan buat semua pihak terutamanya barisan penaja bersama, rakan rasmi dan pihak perseorangan yang memberi sumbangan tunai secara langsung dan tidak langsung kepada KDA FC demi membantu kelangsungan kelab sebelum ini,” katanya.
Beliau berkata penyokong Sang Kenari juga tidak dilupakan dalam menyumbang melalui ekosistem perniagaan kelab, terutama melalui pembelian tiket ke Stadium Darul Aman untuk setiap perlawanan kerana ia amat bermakna kepada kelab itu.