
Namun sebaik tibanya Deepavali beliau sekeluarga bersemangat berpakaian tradisional India dan menikmati juadah thosai, dhal dan acar beralas daun pisang bersama ahli keluarga yang beragama Hindu.
Berhimpun menyambut Deepavali memang menjadi tradisi keluarga Rafee sejak sekian lama.
Ibu bapanya kelahiran Hindu memilih memeluk Islam pada 1980-an dan beliau yang lahir pada 1986 membesar dalam keluarga dengan dua agama berbeza tanpa pernah merasa canggung antara kedua-duanya.
“Sejak kecil saya ingat bagaimana kami melawat datuk dan nenek serta ibu dan bapa saudara pada Deepavali.
“Mendiang nenek dan ibu-ibu saudara memasak dan kami semua duduk beramai-ramai, makan beralas daun pisang dan menikmati juadah bersama-sama.
“Selepas itu kami main bunga api – memang cukup meriah sepertimana sambutan lain dalam keluarga,” katanya kepada FMT.
Tradisi diraikan setiap tahun ini tetap diteruskan Rafee yang kini berusia 38 tahun, bersama empat adik-beradiknya walaupun selepas ibu mereka meninggal dunia, lapan tahun lalu.
“Ibu memastikan anak-anaknya semua mengekalkan ikatan persaudaraan kuat. Apabila melawat saudara-mara, kami membawa buah tangan seperti biskut atau kad ucapan sebagai tanda kasih.”
Bagaimanapun, untuk Rafee perayaan Deepavali bukan sekadar satu tradisi malah menganggapnya acara penting untuk mengeratkan silaturrahim sepertimana dituntut dalam Islam.
“Islam mengajar kita supaya mengekalkan hubungan kekeluargaan dan mengukuhkan ikatan persaudaraan.
“Melawat ahli keluarga ketika Deepavali seiring dengan nilai-nilai ini, memberi peluang kita berjumpa dan bermesra,” katanya.
Isterinya, Hadibah Daut, 41, turut sependapat dengannya, dan sejak berkahwin pada 2012 beliau sendiri juga bersemangat merasai budaya baharu malah cukup gemar menikmati pelbagai makanan India dan seronok menghasilkan kolam bersama anak-anak serta sanak saudara.
“Berhimpun ramai-ramai sempena Deepavali amat penting kerana kita perlu menghormati ikatan kekeluargaan dan memupuk kasih sayang dalam keluarga. Ini juga cara untuk kami merapatkan anak-anak dengan keluarga Ustaz yang bukan beragama Islam,” katanya.

Memupuk rasa hormat dan saling menyayangi
Bagi sepupunya Mohana Letchumy Gonasigran, sambutan Deepavali tidak lengkap tanpa kehadiran Rafee sekeluarga.
Beliau menyimpan sejadah untuk digunakan keluarga itu, malah memastikan makanan dihidangkan sentiasa halal. Amalan ini bukan saja ketika perayaan malah sepanjang masa.
“Kami tidak pernah masak makanan tidak halal di rumah ini. Sekiranya teringin menjamah makanan tidak halal, kami akan keluar makan di restoran tetapi tidak akan membawa pulang ke rumah atau menggunakan pinggan dan perkakas rumah kami,” katanya.
Menurutnya, beliau mengajar perkara ini kepada anak-anaknya supaya memastikan mereka juga sentiasa rapat dengan saudara-mara beragama Islam itu.
“Jika tidak mungkin mereka akan renggang dan terputus hubungan. Saya mahu supaya anak-anak mengenali saudara mereka.”
Mohana berharap pendedahan diberikan kepada anak-anaknya ini bukan saja memastikan mereka menghargai kelainan pelbagai budaya dan masyarakat, malah lebih memahami amalan dan agama lain.
“Anak-anak saya belajar daripada keluarga mereka, dan anak-anaknya juga belajar daripada kami. Jika anak saya mempunyai sebarang soalan mereka bebas bertanya dan Rafee serta keluarganya sentiasa meluangkan masa untuk memberi penjelasan,” katanya.

Rafee percaya Deepavali adalah waktu untuk kemaafan dan kasih sayang – nilai murni yang sering dilupakan dalam kehidupan zaman ini.
“Ketika Hari Raya Aidilfitri, kita diajar saling bermaafan dan melupakan sengketa. Saya merasakan Deepavali juga begitu.
“Adatlah, kadangkala timbul salah faham dengan keluarga, tetapi Deepavali memberi peluang untuk saling menziarah dan berbaik semula.
“Usahlah biarkan saat indah bersama berakhir dengan konflik atau perbalahan. Ia peluang untuk mengeratkan hubungan dan menghapuskan rasa sengketa,” katanya.