
Mengulas persoalan dibangkitkan Penolong Setiausaha Pemuda Bersatu Muhammad Faiz Rahmad, Pengerusi JPP Abdul Azim Mohd Zabidi menjelaskan keputusan itu dibuat sebulat suara selepas beliau bersama empat anggota lain menilai setiap bantahan dikemukakan.
“Itu semua (dakwaan campur tangan untuk menentukan keputusan Pemuda Bersatu) hanya dari orang yang kecewa dan kalah,” katanya kepada FMT sambil menasihatkan semua pihak menerima keputusan.
“Kita dah umum, tutuplah buku, kena terima dengan hati terbuka.
“Kalau saya kata kem satu lagi menang, nanti pasukan Hilman pun akan buat perkara sama…sampai bila (pertikaian ini akan berakhir?,” katanya.
Azim berkata sebanyak 27 aduan diterima berkait pemilihan pada 26 Okt itu, dengan aduan dibuat kem Hilman dan Akmal Zahin, selain wakil JPP yang bertugas di bahagian.
Semalam, Azim mengumumkan Hilman menang jawatan ketua Pemuda Bersatu pada pemilihan penggal 2024-2027, menewaskan pencabarnya, Akmal Zahin Zainal Zahir.
Hilman memperoleh 1,888 undi, mengatasi 170 undi berbanding Akmal Zahin, yang meraih 1,718 undi.
Faiz pula diumumkan memenangi jawatan naib ketua Pemuda selepas mendapat 1,790 undi, menewaskan Adun Seberang Jaya Izhar Shah Arif Shah (1,287) dan Adib Shaharuddin (490).
Selepas pengumuman itu, Faiz membuat kenyataan yang mempersoalkan sama ada wujud campur tangan bagi menentukan keputusan pemilihan sayap itu.
Beliau menarik perhatian kepada pengumuman JPP pada 27 Okt yang membuka ruang bantahan dibuat hingga 10 pagi 28 Okt, walaupun keputusan sayap Pemuda belum dibuat.
Faiz menyifatkan proses itu ‘luar kebiasaan’ kerana bantahan sepatutnya hanya boleh dibuat selepas keputusan diumumkan.
Mengulas perkara itu, Azim menegaskan kes berkenaan ‘sudah ditutup’ dan meminta semua pihak yang bertanding menerima hakikat.
“Dah habis pemilihan, rapatkan saf rapatkan barisan semula untuk kepentingan parti dan negara, penggal akan datang lawan semula,” katanya.