Tak munasabah sekat keluarga pemaju projek terbengkalai ke luar negara, kata persatuan

Tak munasabah sekat keluarga pemaju projek terbengkalai ke luar negara, kata persatuan

Persatuan pembeli rumah menyifatkan tindakan itu ibarat lintah darat ‘memburu’ ahli keluarga penghutang yang tidak berdosa.

nga kor ming
Cadangan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming menyekat perjalanan ahli keluarga syarikat pemaju perumahan ke luar negara disifatkan tidak berperlembagaan.
PETALING JAYA:
Persatuan Pembeli-pembeli Rumah Kebangsaan menyelar cadangan menteri supaya larangan perjalanan dikenakan terhadap ahli keluarga syarikat pemaju perumahan terbengkalai sebagai “tidak munasabah” dan “melampaui batas”.

Setiausaha Agung Kehormatnya, Chang Kim Loong, berkata persatuan itu tidak membantah tindakan diambil terhadap mereka yang didapati bersalah melanggar peruntukan Akta Pemaju Perumahan (Kawalan dan Pelesenan) 1966.

Chang Kim Loong.

Bagaimanapun, Chang berkata cadangan menteri berkenaan, Nga Kor Ming, tidak boleh diperluas sehingga memberi kesan terhadap ahli keluarga mereka yang secara peribadi tidak melakukan apa-apa kesalahan.

“Kesimpulan (Nga) itu tiada beza dengan lintah darat memburu ahli keluarga penghutang yang tidak bersalah,” katanya.

Dua peguam turut tidak bersetuju dengan cadangan itu, malah disifatkan seorang daripadanya sebagai tidak berperlembagaan.

Rajesh Nagarajan berkata, melarang ahli keluarga yang tidak bersalah melanggar Artikel 5(1) Perlembagaan Persekutuan. Menurut peruntukan itu, “tiada seorang pun boleh diambil nyawanya atau dilucutkan kebebasan dirinya kecuali mengikut undang-undang.”

Rajesh Nagarajan.

“Adakah seseorang patut dihukum semata-mata kerana pertalian kekeluargaan? Adakah menteri mahu menghukum orang yang tidak bersalah?” katanya yang terkejut dengan cadangan Nga itu.

Rajesh turut menyoal sama ada cadangan Nga terhad kepada anggota keluarga terdekat, atau sama ada beliau mahu memperluaskan skop meliputi keluarga lebih luas.

Bekas Presiden Badan Peguam Salim Bashir berkata, liabiliti tidak patut dikenakan terhadap ahli keluarga melainkan mereka sendiri melakukan kesalahan terhadap pembeli rumah.

Salim Bashir.

“Perspektif undang-undang tradisional mengiktiraf bahawa talian persaudaraan semata-mata bukan secara automatik menyebabkan semua ahli keluarga bertanggungjawab dari segi undang-undang atas kesalahan salah satu daripada mereka.

“Perlu dibuktikan bahawa mereka ada kewajipan berjaga-jaga atau bersubahat dalam kegiatan haram dan tidak adil terhadap pembeli rumah berkenaan,” katanya.

Minggu lalu, Nga berkata kementeriannya merancang meminda Akta Pemaju Perumahan (Kawalan dan Pelesenan) 1966 supaya mengenakan syarat lebih ketat untuk pemaju.

Katanya, satu daripada pindaan dicadangkan adalah untuk menyekat pemaju perumahan terbengkalai ke luar negara.

“Mereka akan disenarai hitam – bukan saja pemaju, tapi ahli keluarga mereka juga,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.