
Ahmed Razman Abdul Latiff dari Putra Business School berkata, malah pentadbiran Presiden Indonesia Prabowo Subianto yang mengangkat sumpah 20 Okt lalu turut mempertimbangkan dasar memberi subsidi kepada orang kaya dihentikan, sama seperti ditekankan Perdana Menteri Anwar Ibrahim.
“Kelebihan sistem ini dapat membantu mengurangkan ketirisan, pembaziran dan rasuah dalam pemberian peruntukan kepada rakyat, selain cegah penyeludupan di sempadan.
“Tindakan negara membangun seperti Malaysia dan Indonesia untuk turut mengurangkan subsidi pukal selari amalan negara maju,” katanya kepada FMT.

Bagaimanapun, Razman berkata Malaysia dan negara membangun lain perlu mengambil pendekatan berbeza mengenai pengenalan cukai baharu, berbanding negara maju yang mengalihkan beban itu dengan menaikkan cukai pendapatan dan cukai syarikat.
Dalam pembentangan Belanjawan 2025, Anwar yang juga menteri kewangan mengumumkan subsidi bersasar untuk petrol RON95 berkuat kuasa pertengahan tahun depan namun menegaskan majoriti rakyat kekal menikmatinya.
Anwar menegaskan hanya golongan kaya dan warga asing tidak lagi menerima subsidi bahan bakar itu.
Prabowo dalam satu wawancara dengan SCTV disiarkan Isnin lalu pula berkata, pentadbirannya ketika ini sedang mengkaji dasar subsidi bersasar kepada masyarakat kurang bekemampuan, bukan untuk dinikmati golongan kaya.
Sementara itu, Abu Sufian Yaacob dari Universiti Malaysia Kelantan meminta kerajaan segera menggariskan panduan pelaksanaan subsidi bersasar supaya kumpulan benar-benar terkesan dapat bersedia lebih awal.
“Kita juga jangan terlalu menekankan sasaran kepada golongan kaya atau elit kerana bilangan golongan ini adalah kecil jika dibanding golongan B40 dan M40 tetapi mereka membayar cukai yang banyak.