
Beliau memfailkan permohonan itu di Mahkamah Tinggi Johor Bahru bersama isterinya, Azura Md Yusof, 57, dan Suhaimi Mohd Sani, 28, menurut Berita Harian.
Suhaimi dijangka didakwa di Mahkamah Sesyen Kota Tinggi mengikut Sosma, petang ini.
Ketiga-tiga mereka selaku pemohon menamakan menteri dalam negeri, ketua polis negara, pendakwa raya, pengarah penjara Selangor dan Wilayah Kuala Lumpur serta kerajaan Malaysia sebagai responden.
Mereka memohon perintah itu dikeluarkan bagi membebaskan pemohon daripada tangkapan dan penahanan tidak sah oleh responden, selain pemohon perlu dibawa ke mahkamah secepat mungkin.
Mereka diwakili barisan peguam diketuai Rosli Kamaruddin, Najib Zakaria, Boestamam Ahmad dan Dorina Abdullah.
Hakim Abu Bakar Katar menetapkan 4 Disember depan untuk mendengar permohonan itu bagi membolehkan peguam mewakili pemohon dan responden memberikan hujahan masing-masing.
Terdahulu malam tadi, bantahan awal difailkan peguam responden yang diwakili Peguam Persekutuan Mohamad Firdaus Saidani Ali.
Turut hadir pada prosiding hari ini adalah tiga peguam mewakili Majlis Peguam Malaysia iaitu R Jayabalan, Fadhil Ihsan Mohamad Hassan dan Khairul Azwad, yang memantau bagi kepentingan awam.
Pada 23 Oktober lalu, Nasiruddin, Azura dan Suhaimi didakwa di Mahkamah Sesyen Selayang atas pertuduhan menjadi ahli kumpulan jenayah terancang sejak 2020.
Turut didakwa anak bekas pengasas Al-Arqam Mohammad Adib At-Tamimi Asaari, 32, dan 19 individu lain.
Dalam pada itu, Rosli yang ditemui media memaklumkan bahawa permohonan sama akan difailkan di Selangor dan Kuala Lumpur dalam masa terdekat.
“Kita failkan bermula di Johor Bahru kerana siasatan membabitkan juga kes-kes di sini dan premis perniagaan yang disiasat, antaranya berada di Johor Bahru.
“Ini adalah hak tertuduh bagi mempertikaikan penahanan yang dibuat, begitu juga akan ada permohonan bagi mempertikaikan tuduhan di bawah jenayah terancang.
“Ada beberapa afidavit lagi akan difailkan bagi menyokong permohonan habeas corpus sebelum pendengaran kes bersambung pada 4 Disember ini,” katanya.