BN Sarawak main peranan ‘buli’ rakyat juga, kata Chong

BN Sarawak main peranan ‘buli’ rakyat juga, kata Chong

Ketua DAP Sarawak berkata, rakyat negeri itu bukan sahaja 'dibuli' kerajaan persekutuan, malah kerajaan negeri pimpinan BN pada 1980an.

chong chieng jen
Ketua DAP Sarawak Chong Chieng Jen berkata, pembulian oleh kedua-dua kerajaan persekutuan dan BN Sarawak menjadi ‘tamparan berganda’ buat rakyat negeri itu.
PETALING JAYA:
Ketua DAP Sarawak Chong Chieng Jen mendakwa Barisan Nasional (BN) negeri memainkan peranan ‘membuli’ rakyat Sarawak dan mengeksploitasi sumber asli.

Chong mendakwa sejak 1980-an, kerajaan persekutuan telah mengambil kesempatan ke atas minyak dan gas asli Sarawak.

“Memang benar dalam tempoh yang sama, BN Sarawak dan kroninya mengambil kesempatan ke atas sumber asli negeri, iaitu kayu dan tanah, merugikan rakyat Sarawak,” katanya dalam kenyataan.

Chong berkata demikian sebagai respons terhadap kenyataan Timbalan Premier Sarawak Dr Sim Kui Hian bahawa ‘pembulian’ semasa pentadbiran bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad menyebabkan negeri itu tidak mempunyai pilihan selain meningkatkan hasil untuk mendukung pembangunannya sendiri.

Pada Isnin, Mahathir berkata, Sarawak yang kini sudah mencapai status pendapatan tinggi harus membantu negeri yang lebih mundur.

Pada awalnya, katanya, Sarawak dan Sabah miskin dan bergantung kepada sokongan persekutuan, dan kini apabila kedua-dua negeri lebih makmur, sudah tiba masanya untuk mereka mendukung negeri yang lebih miskin.

Sim bagaimanapun mengucapkan terima kasih kepada Mahathir atas ‘pembulian’ itu dan berkata, kini masanya Sarawak membangunkan prasarananya, membantu rakyatnya, dan ‘menjaga diri sendiri dahulu’.

Chong yang juga ketua pembangkang negeri menuduh Sim tidak menceritakan perihal sepenuhnya dan berkata, pembulian oleh kedua-dua kerajaan persekutuan dan BN Sarawak menjadi ‘tamparan berganda’ buat rakyat negeri itu.

“Pada peringkat kebangsaan, kerajaan persekutuan merampas hak minyak dan gas kami, memberikan kembali jumlah yang sedikit,” katanya.

“Pada peringkat negeri, kerajaan BN Sarawak (kini Gabungan Parti Sarawak) merampas sumber kayu, hak perlombongan, hak tanah, dan hak untuk mengambil bahagian secara adil dalam peluang perolehan kerajaan.”

Selepas BN kalah pada PRU 2018, sekutu BN Sarawak memutuskan untuk meninggalkan gabungan itu dan membentuk gabungan wilayah mereka sendiri, iaitu GPS, menumpukan pada mempromosi autonomi dan kepentingan Sarawak secara bebas daripada gabungan BN persekutuan.

Chong berkata, Sarawak masih mempunyai sekolah dan klinik daif, selain pembangunan prasarana yang mundur dan tahap pendapatan lebih rendah berbanding Semenanjung, akibat ‘dibuli’ oleh kedua-dua pihak itu.

“Eksploitasi sebegini berlaku kerana parti pemerintah sangat kuat dan pembangkang sangat lemah pada era itu (1980an), baik pada peringkat persekutuan mahupun negeri,” katanya.

Beliau juga berkata, landskap politik Semenanjung yang kini berpecah-belah memastikan kerajaan persekutuan tidak lagi dapat membuli Sarawak.

“Sebaliknya, kerajaan negeri diterajui GPS yang sangat kuat akan melihat era BN Sarawak pada 1980an dan 90an kembali, apabila rakyat biasa dibuli oleh pemimpin mereka dan hak mereka diinjak-injak dan dieksploitasi,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.