Agihan kerusi, ‘poster boy KM’ cabaran kerjasama BN-PH-GRS

Agihan kerusi, ‘poster boy KM’ cabaran kerjasama BN-PH-GRS

Penganalisis Romzi Ationg berkata 10 kerusi dijangka menjadi rebutan tiga parti terbabit yang mungkin menimbulkan konflik menjelang PRN Sabah.

Di sebalik kenyataan Zahid Hamidi berhubung kerjasama PRN Sabah, belum ada kenyataan rasmi daripada Pengerusi PH Anwar Ibrahim dan Pengerusi GRS Hajiji Noor mengenainya. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Agihan kerusi serta calon ketua menteri akan menjadi cabaran utama untuk diselesaikan Barisan Nasional (BN), Pakatan Harapan (PH) dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) jika kerjasamanya menjadi realiti pada PRN, kata penganalisis.

Romzi Ationg dari Universiti Malaysia Sabah (UMS) berkata, walaupun secara luaran kerjasama itu hanya membabitkan tiga komponen namun di bawahnya terbahagi kepada banyak parti yang ‘mengintai’ kerusi mahu ditandingi.

Beliau menjangkakan sebanyak 10 kerusi panas menjadi rebutan antaranya Bengkoka dimenangi Umno pada PRN lalu, namun difahamkan dua ahli GRS iaitu Parti Bersatu Sabah (PBS) serta Parti Solidariti Tanah Airku (STAR), selain Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (Upko) di bawah PH turut menaruh minat.

Romzi Ationg.

“Dibimbangi parti tidak terpilih akan jadi duri dalam daging kepada gabungan kerana tidak puas hati dan lazimnya di Sabah ini mereka tak terpilih akan bertanding bebas dan menyebabkan undi pecah,” katanya kepada FMT.

Menurut Romzi, perebutan kerusi itu juga berkait rapat pemilihan calon ketua menteri yang akhirnya perlu dipilih berdasarkan jumlah DUN dikuasai selepas PRN.

“Bila GRS inginkan ketua menteri, jumlah kerusi mereka mahukan pasti lebih banyak daripada PH dan BN, dan di pihak sebelah sana juga jika mereka mahukan ketua menteri daripada gabungan itu, mereka juga mahu tanding lebih banyak.

“Jadi ini akan menjadi punca atau konflik terutama di kawasan boleh dimenangi.

“Untuk elakkan konflik, biarkan semua bertanding secara terbuka dan pembentukan kerajaan atau kerjasama boleh dibuat selepas PRN mengikut model kerajaan perpaduan di pusat yang bergabung selepas PRU15,” katanya.

Kelmarin, Timbalan Ketua Umno Sabah Rahman Dahlan berkata kerjasama PH, BN dan GRS disifatkan pakatan terbaik kerana dapat memenuhi harapan serta aspirasi semua bagi menghadapi PRN.

Sebelum ini, Pengerusi BN Zahid Hamidi berkata pihaknya sudah memuktamadkan kerjasama dengan PH untuk menghadapi PRN Sabah dijangka tahun depan, pada masa sama tidak menolak kemungkinan penyertaan GRS.

Semalam, Bernama melaporkan Pengerusi GRS Hajiji Noor berkata pihaknya terbuka berbincang dengan rakan parti lain termasuk BN untuk menjalinkan kerjasama, namun menegaskan GRS dan PH Plus adalah gandingan mantap ketika ini.

Bagaimanapun, salah sebuah parti komponen PH iaitu Upko menyatakan belum ada sebarang perbincangan rasmi untuk menentukan kerjasama pada PRN. Presidennya Ewon Benedick menyatakan PH Sabah perlu diberi autonomi.

Lee Kuok Tiung.

Lee Kuok Tiung dari UMS pula berpendapat meskipun ada ‘sejarah hitam membabitkan’ Umno dan GRS susulan ‘Langkah Kinabalu’ pada awal 2023, namun dinamik politik kini memberi ruang untuk menyatukan semula kedua-dua parti itu.

Katanya, perkembangan semasa menyaksikan senario politik kini berbeza dengan kepimpinan Zahid yang lebih terbuka untuk bekerjasama dengan PH dan GRS demi kestabilan dan kepentingan rakyat Sabah.

“Namun, kerjasama ini hanya dapat menjadi realiti jika ketiga-tiganya berjaya menangani rasa tidak percaya yang mungkin masih ada dan mengutamakan kepentingan Sabah,” katanya.

DUN Sabah akan terbubar secara automatik pada Oktober tahun depan, diikuti PRN yang perlu diadakan dalam tempoh 60 hari.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.