910 premis makanan kotor diarah tutup setakat Jun

910 premis makanan kotor diarah tutup setakat Jun

KKM berkata 63,784 premis makanan diperiksa di seluruh negara.

Kementerian Kesihatan berkata, 16,415 notis kesalahan dikeluarkan ke atas premis makanan dalam tempoh enam bulan pertama tahun ini. (Gambar fail)
PETALING JAYA:
Sebanyak 910 premis makanan tidak bersih diarah tutup dalam tempoh enam bulan pertama tahun ini, kata Kementerian Kesihatan (KKM).

KKM berkata, 63,784 premis makanan diperiksa di seluruh negara dengan 16,415 notis kesalahan dikeluarkan mengikut Seksyen 32B, Akta Makanan 1983 dalam tempoh sama.

Menurut kementerian, daripada 94,275 pengendali makanan diperiksa, didapati 79,818 atau 84.7% pengendali makanan telah mendapatkan suntikan antitifoid.

“Tindakan penguatkuasaan telah dikenakan terhadap pengendali dan pemilik premis makanan yang gagal memenuhi keperluan perundangan ini,” katanya dalam kenyataan.

KKM melalui Program Keselamatan dan Kualiti Makanan (PKKM) menegaskan tindakan penguatkuasaan yang boleh diambil kepada pemilik premis makanan yang kotor atau tidak suci adalah arahan penutupan premis tidak melebihi tempoh 14 hari mengikut Seksyen 11, Akta Makanan 1983.

“Individu ingkar boleh didakwa dan jika disabitkan kesalahan boleh dikenakan penjara tidak melebihi lima tahun atau denda atau kedua-duanya,” kata KKM.

Selain itu, KKM berkata peruntukan bagi ciri kebersihan premis makanan, perkakas, amalan pengendalian oleh pengendali makanan dan pengangkutan makanan jelas diperincikan di bawah Peraturan- Peraturan Kebersihan Makanan (PPKM) 2009 di mana terdapat 33 kesalahan boleh dikompaun.

“Mana-mana individu yang gagal membayar kompaun tersebut boleh didakwa di mahkamah dan jika disabitkan kesalahan boleh didenda sehingga RM10,000 atau penjara tidak melebihi dua tahun,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.