‘Mykad’ di medan tempur Ukraine? Maklumat belum disahkan, kata Wisma Putra

‘Mykad’ di medan tempur Ukraine? Maklumat belum disahkan, kata Wisma Putra

Sebelum ini, tular gambar yang menunjukkan MyKad didakwa ditemui di medan pertempuran antara Ukraine dan Rusia.

wisma putra
Wisma Putra mohon media tidak buat spekulasi susulan laporan menyatakan ‘MyKad’ ditemui di medan tempur di Ukraine.
KUALA LUMPUR:
Kementerian Luar mengambil maklum mengenai satu laporan yang menyatakan MyKad dan lesen memandu Malaysia dijumpai di Levadne, Zaporizhia, Ukraine.

Wisma Putra berkata buat masa ini pihaknya tidak dapat mengesahkan kesahihan maklumat itu.

“Maklumat itu juga telah dipanjangkan kepada pihak berkuasa yang berkaitan untuk pengesahan.

“Kami dengan hormatnya memohon pihak media dan orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi,” menurut kenyataan.

Kementerian Luar menyarankan rakyat untuk mengambil langkah berjaga-jaga dan memastikan keselamatan diri sendiri ketika di luar negara.

“Keselamatan rakyat Malaysia di luar negara adalah tanggungjawab individu masing-masing.

“Walaupun Pejabat Perwakilan Malaysia sentiasa bersedia untuk memberikan bantuan konsular kepada rakyat Malaysia yang memerlukan, adalah penting bagi semua rakyat Malaysia untuk mengambil langkah berjaga-jaga dan memastikan keselamatan diri sendiri,” menurut kenyataan itu.

Sebelum ini, tular sekeping gambar yang menunjukkan dokumen pengenalan diri MyKad dan lesen memandu rakyat Malaysia didakwa ditemui di medan pertempuran antara Ukraine dan Rusia.

Laporan itu mendakwa dokumen itu ditemui selepas tentera Rusia menawan kubu tentera Ukraine di Levadne, Zaporizhia, Ukraine.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.