
Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP) Abdul Azim Mohd Zabidi memaklumkan, Hilman memperoleh 1,888 undi, dengan 170 undi mengatasi Akmal Zahin, yang meraih 1,718 undi.
Dengan keputusan itu, Hilman secara rasmi mengambil alih jawatan ketua Pemuda Bersatu daripada Ahli Parlimen Machang Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal yang bertanding Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT).
Faiz Rahmad pula diumumkan memenangi jawatan naib ketua Pemuda selepas mendapat 1,790 undi, menewaskan Adun Seberang Jaya Izhar Shah Arif Shah (1,287) dan Adib Shaharuddin (490).
Jawatan pengerusi tetap diisi Muhamad Amerul Muhamad, manakala timbalannya dimenangi Mohd Firdaus Zaini.
Azim berkata, sejumlah 111 bahagian Pemuda bersidang dan berdasarkan kertas undi diterima, jumlah kehadiran pada tahap 42% daripada perwakilan yang layak hadir, iaitu 9,076 orang.
Katanya, JPP turut menerima 27 aduan dan bantahan, antaranya berkaitan peraturan sidang, tatacara pemilihan, prosedur pengeluaran kertas undi, keabsahan perwakilan dan prosedur pengiraan undi.
“JPP pusat telah membuat keputusan sewajarnya mengikut bidang kuasa dimiliki, yang diberikan perlembagaan parti dan MPT,” katanya ketika mengumumkan keputusan pemilihan sayap Pemuda Bersatu bagi 2024-2027 di ibu pejabat parti.
Media sebelum ini melaporkan Akmal Zahin memenangi jawatan ketua sayap itu, berdasarkan keputusan tidak rasmi.
Sementara itu, Hilman ketika ditemui berkata, misinya adalah untuk memperkukuh sayap Pemuda sekali gus memenangkan Bersatu pada pilihan raya.
Ditanya mengenai kerjasama dengan Akmal Zahin, beliau berkata, mereka akan berjuang bersama sebagai satu keluarga besar dan pencabarnya itu tetap akan diberikan peranan dalam Pemuda.