Dewan Rakyat akan bincang subsidi bersasar RON95

Dewan Rakyat akan bincang subsidi bersasar RON95

Antara isu lain dibangkitkan hari ini melibatkan Duta Enclave dan cadangan cukai dua peratus ke atas pendapatan dividen.

Persoalan berkait subsidi bersasar RON95 akan dibangkitkan pada sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri, di Dewan Rakyat hari ini.
KUALA LUMPUR:
Subsidi bersasar bagi petrol RON95 serta pelaksanaan cukai dividen dua peratus ke atas pendapatan dividen melebihi RM100,000 untuk pemegang saham individu antara yang akan dibincangkan di Dewan Rakyat hari ini.

Menurut Aturan Urusan Mesyuarat di laman rasmi Parlimen, persoalan itu dibangkitkan Khoo Poay Tiong (PH-Kota Melaka) kepada perdana menteri pada sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri sejurus Dewan Rakyat bersidang pada 10 pagi.

Pada sesi sama, Takiyuddin Hassan (PN-Kota Bharu) meminta perdana menteri menyatakan langkah penyelesaian kerajaan dalam kes Duta Enclave di mukim Batu susulan keputusan Mahkamah Tinggi yang mengarahkan pemulangan semula 106.54 hektar tanah di Jalan Duta, Kuala Lumpur oleh kerajaan persekutuan kepada Semantan Estate Sdn Bhd.

Turut menarik perhatian soalan Muhammad Bakhtiar Wan Chik (PH-Balik Pulau) berhubung rancangan kerajaan menaik taraf dan menyelenggara utiliti bawah tanah di ibu negara dan bagaimana Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dapat mengutamakan keselamatan serta kecekapan dalam projek penyelenggaraan bawah tanah pada sesi soal jawab lisan.

Usai sesi itu, mesyuarat Dewan Rakyat diteruskan dengan perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan (Belanjawan) 2025 selepas ia dibentangkan Perdana Menteri Anwar Ibrahim merangkap menteri kewangan pada 18 Okt.

Setakat ini, 105 Ahli Parlimen daripada blok kerajaan, pembangkang, dan bebas mengambil bahagian pada sesi perbahasan rang undang-undang itu.

Dewan Rakyat tidak akan bersidang pada Rabu dan Khamis ini berikutan sambutan Deepavali.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.