Sarawak berpendapatan tinggi mesti bantu negeri lebih miskin, kata Dr M

Sarawak berpendapatan tinggi mesti bantu negeri lebih miskin, kata Dr M

Pada 1970-an, semua negeri bersetuju satukan sumber demi negara bagi faedah bersama, menurut bekas menteri kewangan Tengku Razaleigh Hamzah.

Dr Mahathir Mohamad dan Tengku Razaleigh Hamzah bercakap mengenai agihan hasil di antara negeri.
PETALING JAYA:
Sarawak, yang kini mencapai status berpendapatan tinggi, seharusnya membantu negeri yang mundur untuk membangun, kata bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad.

“Sarawak sudah jana banyak wang. Belanjawannya RM11 bilion – sangat tinggi, berbanding Kedah, yang bajetnya hanya RM700 juta,” kata Mahathir dalam wawancara dengan FMT.

“Kita harus ingat bahawa Malaysia sebuah persekutuan. Negeri yang lebih kaya mesti kongsi kekayaan dengan yang lebih miskin,” katanya.

Tetapi keadaan tidak selalu begitu. “Pada mulanya, sudah tentu, Sarawak dan Sabah miskin, dan kerajaan persekutuan terpaksa bantu mereka. Kini, mereka tidak lagi miskin, dan sudah tiba masanya mereka bantu negeri yang lebih miskin,” katanya.

chart

Status Sarawak sebagai negeri berpendapatan tinggi didedahkan pada Julai, apabila kiraan oleh kakitangan Bank Dunia di Malaysia disiarkan dalam talian, menunjukkan pendapatan negara kasar per kapitanya berkedudukan keempat tertinggi dengan USD16,560 (atau RM77,997 berdasarkan kadar pertukaran pada Julai).

Yang lain ialah Kuala Lumpur (USD29,967 atau RM141,144), Labuan (USD19,117 atau RM90,041), Pulau Pinang (USD16,660 atau RM78,468) dan Selangor (USD14,291 atau RM67,310). Negeri seperti Kedah, Perlis dan Kelantan berada kelompok tiga terbawah.

Ahli ekonomi Bank Dunia, Apurva Sanghi, yang menyiarkan data itu, menyatakan Sarawak mempunyai pendapatan tinggi tetapi juga kadar kemiskinan yang tinggi iaitu sebanyak 10.8% pada 2022, manakala Perlis yang bukan berpendapatan tinggi mempunyai kadar kemiskinan yang lebih rendah iaitu sebanyak 4%.

Kekayaan Sarawak bertambah baik dengan ketara dalam tempoh 10 tahun lalu, daripada paras pendapatan negara kasar sebanyak RM55,000 pada 2014. Sebahagian besar hasilnya daripada sektor minyak dan gas (O&G).

Pada 2023 sahaja, Sarawak raih RM2.8 bilion daripada royalti yang dikira pada 5%, seperti yang diperuntukkan Akta Pembangunan Petroleum 1974.

Sarawak juga dibenarkan untuk mengenakan cukai jualan ke atas output O&G di negeri itu mulai 2020. Keadaan itu membolehkannya meraih tambahan RM3.4 bilion pada 2023..

Hasil petroleum

Tengku Razaleigh Hamzah, yang berkhidmat sebagai menteri kewangan antara 1976 dan 1984, berkata bahawa pada awal tahun-tahun Malaysia dibentuk, setiap negeri termasuk Sabah dan Sarawak, mempunyai sumber yang sangat terhad.

Atas sebab itu, semua 13 negeri bersetuju menyatukan sumber demi negara yang baru terbentuk bagi faedah bersama.

Pemikiran itu mendorong penggubalan Akta Pembangunan Petroleum, yang memperuntukkan penubuhan Petronas. Syarikat itu diberi hak ke atas semua O&G dalam dan luar pesisir, dalam sempadan negara.

“Dengan sumber O&G yang ada, Malaysia dapat buka lembaran baru,” kata Tengku Razaleigh, yang diiktiraf secara meluas sebagai pengasas Petronas.

“Kini kita boleh guna kekayaan minyak untuk membina negara, biarkan ia berkembang bersama, dan biarkan orang ramai mendapat manfaat,” katanya, sambil menambah bahawa industri itu mencipta “beribu-ribu, jika bukan berjuta-juta pekerjaan”.

Sebelum undang-undang digubal pada 1974, semua penerokaan petroleum dan aktiviti berkaitan dijalankan oleh tujuh syarikat minyak utama dunia, digelar ‘Seven Sisters’ yang menguasai industri petroleum global dari pertengahan 1940-an hingga 1970-an.

Penggubalan undang-undang dan pembentukan Petronas menandakan peralihan ke arah memiliknegarakan sumber minyak, dan perjanjian perkongsian hasil antara kerajaan.

“Kita mahu memastikan tiada perbalahan antara negeri dan kerajaan persekutuan, dan antara negeri. Jadi kita pastikan bahawa pembayaran adalah sama untuk semua orang,” kata Tengku Razaleigh.

Beliau berkata formula royalti itu adalah cetusan idea Abdul Rahman Yaakub, ketua menteri Sarawak.

“Jika anda menemui minyak, kita akan beri 5% daripada nilainya. Kita berbincang dengan semua kerajaan negeri selepas merujuk kepada kabinet persekutuan, dan mereka bersetuju itu adalah cara terbaik,” kata Tengku Razaleigh.

Sejak itu, beberapa negeri menyuarakan rasa tidak puas hati dengan bahagian 5% ini dan memohon kepada kerajaan persekutuan memberikan royalti minyak yang lebih besar. Baru-baru ini pada 2024, kerajaan Sarawak berusaha untuk memindahkan autoriti ke atas O&G dalam wilayahnya daripada Petronas kepada syarikat miliknya, Petros.

Langkah ini akan memberikan hasil O&G yang lebih besar kepada negeri itu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.