Laksana projek rintis uji penyasaran subsidi T15, cadang Ahli Parlimen

Laksana projek rintis uji penyasaran subsidi T15, cadang Ahli Parlimen

Syahir Che Sulaiman dari PAS berkata ini boleh membantu kerajaan menguji keberkesanan program itu dan mengelak pelaksanaannya tergendala.

Syahir Che Sulaiman
Ahli Parlimen Bachok Syahir Che Sulaiman berkata kerajaan perlu memastikan data diperolehi adalah menepati kehidupan rakyat dan perniagaan. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Seorang Ahli Parlimen pembangkang mencadangkan kerajaan melancarkan projek rintis untuk menguji perlaksanaan penyasaran subsidi berdasarkan pengelasan T15 (kumpulan pendapatan 15% teratas).

Ahli Parlimen Bachok dari PAS Syahir Che Sulaiman berkata projek rintis itu boleh membantu kerajaan menguji keberkesanan program itu dan mengelak pelaksanaannya tergendala di kemudian hari.

Beliau juga menggesa kerajaan menjalankan libat urus dengan dalam kalangan masyarakat termasuk pekerja, majikan, dan peniaga supaya data yang diperolehi menepati kehidupan rakyat dan perniagaan.

“Sewajarnya, setiap perancangan dan formulasi dasar hendaklah berpandukan kepada ketepatan data, proses libat urus yang meluas, semakan realiti di bawah, serta daya empati yang tinggi di pihak kerajaan,” katanya dalam satu kenyataan.

Terdahulu hari ini, Menteri Ekonomi Rafizi Ramli berkata perincian takrifan kumpulan T15 akan dibuat dalam tempoh sebulan sebelum dibentangkan kepada Jemaah Menteri untuk kelulusan.

Beliau juga berkata, kumpulan T15, akan dinilai berdasarkan lokaliti dan takrifannya bukan lagi bersifat nasional, berpandukan pendapatan boleh belanja bersih isi rumah dan jumlah tanggungan.

Perdana Menteri Anwar Ibrahim, ketika membentangkan Belanjawan 2025 pada 18 Okt lalu berkata, beberapa subsidi akan dikurangkan untuk kumpulan T15.

Perkara itu mendapat perhatian pelbagai pihak yang meminta kerajaan meneliti semula pengelasan pendapatan isi rumah, bagi mengelakkan keciciran pemberian bantuan serta subsidi petrol.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.