KBS selaras program cungkil bakat sukan anggota badan beruniform

KBS selaras program cungkil bakat sukan anggota badan beruniform

Timbalan Perdana Menteri Zahid Hamidi berkata ia selaras keperluan semasa dan mewujudkan ekosistem sukan berprestasi tinggi dinamik.

Kerajaan mahu mewujudkan ekosistem sukan berprestasi tinggi dengan menggalakkan pembangunan bakat di kalangan pasukan beruniform. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Kementerian Belia dan Sukan melalui Majlis Sukan Negara akan bekerjasama dengan pasukan beruniform seperti polis, tentera dan bomba untuk menggalakkan pembangunan bakat sukan di kalangan anggotanya.

Timbalan Perdana Menteri Zahid Hamidi berkata keputusan berkenaan diputuskan dalam mesyuarat jawatankuasa pembangunan sukan dipengerusikannya, hari ini.

Menurutnya, inisiatif itu seiring keperluan sukan semasa seterusnya mewujudkan ekosistem sukan berprestasi tinggi yang dinamik.

“Mesyuarat bersetuju supaya beberapa elemen diberi perhatian termasuk bantuan peralatan latihan dan sewaan pusat latihan agar sesi latihan dapat dijalankan dengan efisien,” katanya dalam kenyataan.

Katanya, turut diberi perhatian adalah penganjuran kursus kejurulatihan dan sains sukan dalam kalangan pegawai dan anggota beruniform supaya lebih ramai jurulatih dari kalangan badan beruniform memiliki sijil diiktiraf.

“Penganjuran kejohanan tempatan dan penyertaan kejohanan dalam dan luar negara supaya bakat-bakat ini dapat didedahkan dengan lebih banyak pertandingan di peringkat tempatan dan atarabangsa,” katanya.

Zahid berkata badan beruniform juga perlu berperanan aktif dan memberi fokus kepada beberapa cadangan jenis sukan yang boleh diberi perhatian.

“Pemilihan jenis sukan dari agensi uniform seperti sukan sepak takraw (bomba dan ATM), karate (ATM), tinju dan ping pong (ATM), angkat berat (bomba), menembak dan memanah (ATM dan PDRM) turut mendapat perhatian ahli mesyuarat,” katanya.

Selain itu, katanya, mesyuarat juga bersetuju untuk meletakkan anggota unit beruniform lain seperti kastam, Jabatan Penjara Malaysia, Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), turut dimasukkan dalam program pembangunan bakat sukan dalam kalangan badan beruniform.

“Saya menggesa supaya satu kerjasama bersepadu antara semua pihak termasuk kementerian / jabatan / agensi kerajaan, pihak swasta, NGO, ahli akademik dan setiap yang terlibat termasuk masyarakat dalam usaha membangunkan ekosistem sukan,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.