Dewan Rakyat kecoh isu PBT bunuh anjing liar

Dewan Rakyat kecoh isu PBT bunuh anjing liar

Che Mohamad Zulkifly Jusoh berkata, tindakan Majlis Perbandaran Besut itu mengikut SOP, namun Chong Zhemin menegaskan ia menyalahi undang-undang.

Pada sesi Dewan Rakyat petang ini, Che Mohamad Zulkifly Jusoh (PN-Besut) mempertahankan tindakan Majlis Perbandaran Besut membunuh anjing liar di kawasan Parlimennya baru-baru ini.
KUALA LUMPUR:
Sesi Dewan Rakyat petang ini kecoh apabila Che Mohamad Zulkifly Jusoh (PN-Besut) menyentuh isu pembunuhan anjing liar di kawasan Parlimennya, yang kemudian dibidas Chong Zhemin (PH-Kampar).

Merujuk kepada isu tular yang dibangkitkan oleh RSN Rayer (PH-Jelutong) sebelum ini, Che Mohamad menafikan tindakan Majlis Perbandaran Besut terhadap anjing liar di kawasan itu rakus dan tidak berperikemanusiaan.

Sebaliknya, beliau berkata, operasi membunuh anjing liar di kawasan itu mengikut prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan dan tidak dibuat secara melulu.

“Sebenarnya banyak dah aduan tentang anjing liar di Besut ini. Ada 800 ekor anjing (dan) 131 aduan,” katanya pada sesi perbahasan Belanjawan 2025 petang ini.

“Justifikasi sudah ada, haiwan liar ini beri kesan negatif, kacau ganggu di kawasan, ancaman penyakit, ancaman kecederaan kepada orang ramai dan juga kotoran najis di kawasan sekitar.”

Bagaimanapun, kenyataan Ahli Parlimen Besut itu dibantah oleh Chong yang mendakwa justifikasi dikemukakan Che Mohamad mengelirukan Dewan.

Beliau mengingatkan sidang Dewan bahawa Seksyen 29(1)(a) Akta Kebajikan Haiwan 2015, yang menyentuh tentang penganiayaan terhadap haiwan, melarang perbuatan sedemikian.

“Walaupun anjing liar, kena tangkap dengan berhemah, tak boleh cederakan anjing itu. Jangan cakap ini (ada) justifikasi,” katanya.

Che Mohamad kemudian meminta Chong duduk kerana didakwa mengganggunya ketika berbahas sehingga mencetuskan perang mulut.

“Dengar betul-betul, kita dah ikut prosedur, awak yang tak faham,” katanya.

Ketegangan itu mendorong Speaker Dewan Rakyat Johari Abdul campur tangan dengan mengarahkan kedua-dua Ahli Parlimen itu duduk.

Johari kemudian membenarkan Che Mohamad menggulung perbahasannya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.