
Tertuduh, Muhammad Qamarulazim Samad, 20, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Suhaila Shafi’uddin, menurut Harian Metro.
Berdasarkan pertuduhan, dia didakwa memasuki kediaman yang juga rumah persinggahan milik Sultan Johor yang dijadikan tempat menyimpan harta, serta melakukan khianat dengan merosakkan kunci rumah di Jabatan Kerja Raya (JKR) 10, Jalan Kluang, pada 9.30 pagi, 23 September lalu.
Dakwaan terhadapnya dikemukakan mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 14 tahun dan boleh didenda atau sebat bagi kesalahan kedua dan seterusnya.
Timbalan Pendakwa Raya Farah Wahidah Mohd Sharip mengendalikan pendakwaan manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Terdahulu, pihak pendakwaan mengemukakan laporan psikiatri dari Hospital Permai Johor Bahru berhubung status tertuduh sama ada perlu didakwa atau sebaliknya.
Selepas meneliti laporan itu, mahkamah mendapati tertuduh layak dibicara serta membuat pengakuan atas pertuduhan dikenakan terhadapnya.
Tertuduh pada 6 Oktober lalu diperintahkan menjalani pemeriksaan psikiatri di hospital terbabit selari dengan Seksyen 342 Kanun Prosedur Jenayah.
Susulan pengakuan bersalah dibuat tertuduh, mahkamah kemudian menetapkan 21 November ini untuk sebutan semula bagi laporan sosial, fakta dan hukuman.
Mahkamah juga membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM4,000 dengan seorang penjamin serta menetapkan syarat tambahan iaitu dia perlu melapor diri di Balai Polis Parit Raja ada 1 dan 15 hari bulan setiap bulan sehingga kes selesai.