Penyasaran subsidi: Pengelasan pendapatan T15 masih diteliti

Penyasaran subsidi: Pengelasan pendapatan T15 masih diteliti

Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata ia masih dicerakinkan bagi memastikan hanya golongan kaya perlu membayar harga sebenar petrol.

anwar ibrahim
Anwar Ibrahim disambut ahli parti ketika hadir merasmikan Konvensyen Keadilan Perak di Ipoh. (Gambar Bernama)
IPOH:
Kerajaan belum memutuskan pengelasan pendapatan bagi golongan T15 (kumpulan pendapatan 15% teratas) berkaitan penyasaran subsidi petrol kerana perkara itu masih diteliti, kata Perdana Menteri Anwar Ibrahim.

Beliau berkata ia masih dicerakinkan bagi memastikan hanya golongan kaya perlu membayar harga sebenar petrol manakala 85% rakyat tetap menikmati subsidi.

“Ada yang dah marah, kata T15 mana boleh hidup dengan RM12,000? Siapa kata RM12,000… ia belum diputuskan.

“Kita nak tengok apakah T15 itu mampu bayar, kalau tak mampu jadi T10, atau T15 itu kita tetapkan lebih tinggi daripada pendapatan RM12,000 sekarang, belum lagi putus,” katanya ketika menyampaikan amanat pada majlis perasmian Konvensyen Keadilan Perak.

Ketika membentangkan Belanjawan 2025, perdana menteri memaklumkan bahawa beberapa subsidi akan dikurangkan bagi golongan T15 dan perkara itu mendapat perhatian pelbagai pihak yang meminta kerajaan meneliti semula pengelasan pendapatan isi rumah bagi mengelakkan keciciran pemberian bantuan serta subsidi petrol.

Anwar turut menyelar tindakan sesetengah pihak yang mempertahankan subsidi bagi golongan T15 sedangkan pendapatan mereka ada mencecah RM100,000 hingga RM1 juta.

“Kenapa nak pertahankan? Kalau pendapatan rendah, kita bawa dan kita bagi pertimbangan.

“Kita tidak mahu bebankan rakyat, yang pentingnya 85% tidak terkesan daripada kenaikan ini,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.