Pembinaan 20 unit pam tambahan di Kelantan siap menjelang Ogos 2025

Pembinaan 20 unit pam tambahan di Kelantan siap menjelang Ogos 2025

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Mohamad Sabu maklum kemas kini susulan pengumuman perdana menteri atasi tekanan air rendah akibat kemarau.

Mohamad Sabu berharap unit pam berkenaan memudahkan proses tanaman padi ketika musim kemarau. (Gambar Bernama)
PASIR PUTEH:
Pembinaan 20 unit pam tambahan bernilai RM20 juta diumumkan Perdana Menteri Anwar Ibrahim sebelum ini, dijangka siap dan mula beroperasi pada Ogos 2025, kata Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Mohamad Sabu.

Beliau berkata, perolehan projek berkenaan yang sudah bermula, turut melibatkan pembinaan tapak pam yang sesuai bagi membolehkannya berfungsi dengan baik.

“Sebelum ini Rumah Pam Kemubu mengalami masalah untuk menyedut air apabila paras air rendah akibat berlaku kemarau.

“Kita harap projek ini berjalan dengan lancar mengikut jadual untuk memastikan proses penanaman padi di kawasan seliaan Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu tidak terjejas pada masa akan datang,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyampaikan watikah kepada 48 Ketua Tani Kumpulan Pengguna Air Kawasan Pembangunan Pertanian Bersepadu (IADA) Kemasin Semerak 2024 di Tok Bali.

Sebelum ini, Anwar mengarahkan supaya pembelian 20 unit pam air membabitkan nilai RM20 juta untuk kegunaan di Kelantan disegerakan berikutan berdepan masalah musim kemarau berpanjangan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.