Zahid dijangka tak ambil hati kenyataan ‘Umno kurang bantu’

Zahid dijangka tak ambil hati kenyataan ‘Umno kurang bantu’

Lau Zhe Wei dari UIAM berkata Setiausaha Agung DAP Loke Siew Fook juga dijangka ambil pendekatan 'membisu' seperti Zahid Hamidi dalam menangani isu sensitif antara pemimpin mereka.

Penganalisis berkata Presiden Umno Zahid Hamidi tidak akan ambil hati dengan kenyataan Pengerusi DAP Lim Guan Eng.
PETALING JAYA:
Penganalisis berpendapat kenyataan sinis ‘Umno kurang bantu’ oleh Pengerusi DAP Lim Guan Eng tidak akan disambut oleh mana-mana pihak meskipun berisiko ‘melukakan’ sekutunya dalam kerajaan perpaduan.

Lau Zhe Wei dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) berkata, Setiausaha Agung DAP Loke Siew Fook dijangka mengambil pendekatan ‘membisu’ sama seperti Presiden Umno Zahid Hamidi dalam menangani isu sensitif antara pemimpin mereka.

Lau Zhe Wei
Lau Zhe Wei.

Katanya, sebagai contoh beberapa kontroversi pertikaman lidah membabitkan pemimpin Umno dan DAP sebelum ini kebanyakannya berakhir tanpa penyelesaian dan dibiarkan ‘senyap’.

“Saya merasakan perkara sama juga akan berlaku di mana Loke tidak akan ambil tindakan terhadap Guan Eng.

“Zahid juga dijangka tidak ambil hati sangat dengan kenyataan itu,” katanya kepada FMT, menyifatkan ketenangan pemimpin tertinggi Umno dan DAP berjaya menangani krisis yang tercetus.

Dalam perbahasan Belanjawan 2025 Selasa lalu, Lim yang juga Ahli Parlimen Bagan berterima kasih kepada barisan menteri kerajaan perpaduan yang turun membantu Pulau Pinang dan kawasan Parlimennya, namun secara sinis berkata ‘Umno kurang sikit’.

Petikan itu menarik perhatian Ketua Penerangan PAS Ahmad Fadhli Shaari yang berkata, pemimpin DAP tidak wajar mempersenda Umno secara terbuka, ketika parti Melayu itu telah ‘berkorban’ bekerjasama dengan DAP untuk bersama dalam kerajaan perpaduan.

Mazlan Ali dari Universiti Teknologi Malaysia senada dengan Lau, berpendapat era pentadbiran Loke berbeza dengan pimpinan DAP sebelum ini, terutama isu tercetus melibatkan Umno.

Mazlan Ali.

Namun, beliau berpandangan Lim perlu lebih berhati-hati membuat kenyataan pada masa depan.

“Kadangkala terlepas cakap seperti ini boleh dijadikan peluang kepada parti lawan mengkritik kembali,” katanya.

Sementara itu, Felo Majlis Profesor Negara, Azmi Hassan, berkata kenyataan Lim sekadar cubaannya meraih manfaat politik demi mempamerkan dirinya berani menongkah arus dengan menegur pemimpin Umno.

“Apa yang dilontarkan beliau hanya untuk mendapatkan manfaat politik.

“Pemilihan DAP Pulau Pinang baru-baru ini memberi tamparan hebat kepada Guan Eng bahawa beliau sebenarnya tidak popular dan menjadikan Umno sebagai ‘kambing hitam’ untuk menaikkan kedudukannya,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.