Tindakan berlandaskan undang-undang perlu diteruskan, Pemuda PKR ulas kenyataan Najib

Tindakan berlandaskan undang-undang perlu diteruskan, Pemuda PKR ulas kenyataan Najib

Pemuda PKR tuntut kerajaan dan pihak berkuasa memastikan tindakan tegas diteruskan.

najib razak
Permohonan maaf semata tidak akan memulihkan kerugian yang dialami rakyat, kata Pemuda PKR susulan permohonan maaf oleh Najib Razak kelmarin. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Tindakan tegas berlandaskan undang-undang berhubung kes 1MDB perlu diteruskan kerana kepentingan awam dan keadilan tidak boleh dikompromi, tegas Pemuda PKR.

Sayap parti pemerintah itu berkata skandal 1MDB mencemarkan nama baik negara dan mengakibatkan kerugian besar kepada ekonomi dan kehidupan rakyat.

Pemuda PKR merujuk kenyataan bekas perdana menteri dan menteri kewangan Najib Razak kelmarin, yang membuat permohonan maaf secara terbuka kepada rakyat, berhubung ‘kecurangan’ yang berlaku dalam 1MDB ketika di bawah pengawasannya.

Najib berkata beliau telah pun dihukum atas tanggungjawab yang telah beliau pikul, ‘walaupun dengan jelas saya bukanlah dalang kepada skandal 1MDB’.

Pemuda PKR berkata permohonan maaf tidak boleh menjadi ‘pelindung’ bagi mana-mana pihak untuk mengelak daripada tanggungjawab yang lebih besar atas kecurangan yang telah dilakukan.

“Permohonan maaf semata tidak akan memulihkan kerugian yang telah dialami oleh rakyat. Mereka yang terpaksa menghadapi kesan daripada skandal ini tidak boleh diabaikan,” menurut kenyataan.

Sayap itu juga menuntut kerajaan dan pihak berkuasa memastikan tindakan tegas diteruskan, dan semua yang terlibat dalam skandal itu dibawa ke muka pengadilan, tanpa mengira status atau kedudukan.

“Kewajipan untuk memastikan ketelusan dan integriti dalam pentadbiran awam haruslah diutamakan agar kepercayaan rakyat kepada institusi kerajaan dapat dipulihkan,” tambahnya.

Kenyataan oleh Najib kelmarin dibacakan oleh anaknya, Nizar.

Permohonan maaf itu dibuat beberapa hari sebelum Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memutuskan sama ada beliau perlu membela diri dalam kes rasuah 1MDB yang bermula lima tahun lalu.

Najib sebelum ini dijatuhi hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta bagi kes salah guna kuasa, pengubahan wang dan pecah amanah jenayah dalam kes SRC International, melibatkan dana berjumlah RM42 juta.

Ditemui pemberita semalam, Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata beliau menerima baik permohonan maaf Najib itu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.