Singgah Santai@PNM platform penting bentuk berbudaya membaca

Singgah Santai@PNM platform penting bentuk berbudaya membaca

Singgah Santai anjuran Perpustakaan Negara merakyatkan perpustakaan dan merangsang interaksi sosial.

Ketua Setiausaha Kementerian Perpaduan Negara, Hasnol Zam Zam (tengah) bersama selebriti jemputan, Maya Karin (kanan) dan Timbalan Ketua Pengarah PNM, Edy Irwan (kiri) di Singgah Santai@PNM hari ini.
PETALING JAYA:
Program tahunan Singgah Santai@PNM anjuran Perpustakaan Negara Malaysia (PNM) merupakan platform penting dalam membentuk masyarakat yang berbudaya membaca, menurut Kementerian Perpaduan Negara.

Ketua Setiausaha Hasnol Zam Zam Ahmad, yang diundang ke Singgah Santai@PNM berkata program ini, yang menggalakkan komuniti untuk mendekati dan menggunakan perkhidmatan PNM, berupaya merangsang perkembangan minda dan interaksi sosial dalam kalangan masyarakat, selain merakyatkan perpustaan serta menjadikan amalan membaca satu budaya.

“Kementerian Perpaduan Negara melihat penganjuran Singgah Santai ini sebagai salah satu program penting di bawah Flagship Kembara Perpaduan Malaysia Madani iaitu Semarak Perpaduan,” katanya dalam ucapan ketika merasmikan acara di PNM.

Menurut kementerian, Singgah Santai@PNM menarik lebih 75,830 pengunjung dari sekitar dan luar Lembah Klang, sepanjang 17 kali penganjurannya sehingga Disember 2023.

Tahun ini, Singgah Santai@PNM membawa tema ‘Lestari Biodiversiti Ke Arah Masyarakat Harmoni’, bagi menerapkan nilai murni memelihara kesejahteraan ekosistem alam sekitar.

Hasnol berkata tema itu selari dengan empat Matlamat Pembangunan Mampan, iaitu pendidikan bermutu, bandar dan masyarakat mampan, tindakan iklim, dan kehidupan di darat.

Matlamat Pembangunan Mampan dikemukakan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu untuk dicapai oleh anggota sebagai agenda demi pembangunan dan kemaslahatan manusia dan bumi, antaranya menjamin pendidikan menyeluruh serta mengalakkan peluang pembelajaran sepanjang hayat; dan memelihara, memulihara dan mengalakkan penggunaan mampan ekosistem darat.

“Apa yang lebih utama, program ini diharap berupaya menjadikan perpustakaan sebagai pusat pertemuan atau tapak integrasi perpaduan dalam kalangan masyarakat berbilang bangsa, agama dan budaya untuk mengukuhkan kesepaduan sosial rakyat,” katanya.

Pelbagai aktiviti didik hibur diadakan sempena Singgah Santai@PNM, antaranya program kanak-kanak bersama keluarga, bicara santai, pertandingan busana, dan Petting Zoo, serta pameran oleh jabatan dan agensi, gerai jualan buku dan gerai keusahawanan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.