Malaysia hantar aset, hulur bantuan kepada Filipina, kata TPM

Malaysia hantar aset, hulur bantuan kepada Filipina, kata TPM

Timbalan Perdana Menteri Zahid Hamidi berkata penghantaran helikopter EC725 bersama 16 kru itu bagi membantu Filipina yang dilanda taufan Trami.

Media antarabangsa semalam melaporkan angka korban akibat taufan Trami yang membadai Filipina minggu ini meningkat kepada 46 orang dan sekurang-kurangnya 20 lagi masih hilang. (Gambar AP)
PUTRAJAYA:
Malaysia menghantar aset tentera udara iaitu helikopter EC725 bersama 16 kru ke Filipina untuk misi bantuan kemanusiaan dan bencana selepas negara itu dilanda siklon tropika Trami, kata Timbalan Perdana Menteri Zahid Hamidi.

Beliau berkata pasukan itu berlepas dari Pangkalan Udara Labuan dan tiba Pangkalan Udara Villamor di Manila pada 2.48 petang tadi dengan tempoh penugasan selama lapan hari hingga 2 Nov ini.

Zahid berkata misi itu digerakkan selepas Filipina pada Khamis mengemukakan nota diplomatik kepada kedutaan Malaysia di Manila untuk bantuan kemanusiaan dan bencana dalam bentuk aset udara serta logistik bagi penghantaran barangan bantuan ke kawasan terjejas.

“Susulan itu, Agensi Pengurusan Bencana Negara bersama-sama Kementerian Pertahanan, Kementerian Luar Negeri, Angkatan Tentera Malaysia dan Malawakil Malaysia di Filipina melaksanakan koordinasi bantuan kemanusiaan dan bencana.

“Sebagai tindakan segera, Malaysia menawarkan kepada Filipina satu pesawat C-130 Hercules bagi tujuan mobilisasi udara barangan bantuan ke kawasan yang terjejas serta Pasukan SMART yang bersedia membantu dalam operasi mencari dan menyelamat,” menurutnya dalam kenyataan.

Pengerusi jawatankuasa bencana negara itu berkata Malaysia komited untuk bekerjasama erat dengan Filipina dalam misi bantuan kemanusiaan kerana puluhan ribu penduduk negara itu terjejas akibat banjir besar susulan hujan lebat.

“Seluruh rakyat Malaysia mendoakan agar keadaan di Filipina segera pulih dan segala usaha bantuan yang diberikan dapat membantu meringankan beban mangsa-mangsa yang terjejas,” katanya.

Laporan Pusat Penyelarasan Bantuan Kemanusiaan Bagi Pengurusan Bencana Asean merekodkan tujuh kematian manakala sejumlah 197,000 mangsa dipindahkan dan kira-kira 2.8 juta penduduk terjejas akibat bencana itu.

Semalam, media antarabangsa melaporkan angka korban akibat Trami yang membadai Filipina minggu ini meningkat kepada 46 orang dan sekurang-kurangnya 20 lagi masih hilang.

Sembilan wilayah di negara itu melaporkan kematian dengan Bicol, yang terletak di tenggara Manila dan paling terjejas akibat taufan itu, mencatatkan jumlah korban tertinggi iaitu 28 orang diikuti Calabarzon (15).

Trami, taufan ke-11 yang melanda Filipina tahun ini, melintasi Luzon dan mengakibatkan kemusnahan besar dengan bencana banjir serta tanah runtuh di Bicol dan Calabarzon.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.