Lantik Ahli Majlis KL: Jangan bawa politik perkauman, DAP beritahu PAS

Lantik Ahli Majlis KL: Jangan bawa politik perkauman, DAP beritahu PAS

Pemimpin DAP Iskandar Fareez berkata bantahan Pemuda PAS seolah-olah menafikan hak warga kota mendapat perwakilannya sendiri.

public
Iskandar Fareez berkata ketiadaan Ahli Majlis di Kuala Lumpur menyukarkan urusan perkhidmatan dan aduan untuk penduduk warga kota yang kini seramai 1.98 juta orang.
PETALING JAYA:
Seorang pemimpin Pemuda DAP membidas politik perkauman dibangkitkan seterunya dari PAS berhubung cadangan melantik Ahli Majlis Kuala Lumpur seperti pihak berkuasa tempatan (PBT) di seluruh negara.

Setiausaha Pemuda DAP Kuala Lumpur Iskandar Fareez berkata pihaknya kecewa dengan kenyataan Ketua Pemuda PAS Wilayah Persekutuan Azmer Syazwan Ahmad Suparmin yang dilihat cuba mengheret masyarakat dalam politik perkauman.

Menurutnya, bantahan itu juga seolah-olah menafikan hak warga kota mendapat perwakilan tempatannya sendiri, memandangkan ketika ini Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) hanya mempunyai lembaga penasihat dan tiada Ahli Majlis, selain ketiadaan perwakilan seperti Adun.

“Hal ini menyukarkan urusan perkhidmatan dan aduan kawasan kerana hanya tertumpu kepada 11 Ahli Parlimen yang perlu berkhidmat untuk 1.98 juta penduduk Kuala Lumpur.

“Bandingkan ini dengan negeri lain mempunyai populasi jauh lebih rendah seperti Perlis (284,000), Melaka (998,000), Negeri Sembilan (1.19 juta) dan Terengganu (1.14 juta) yang masing-masing mempunyai Ahli Majlis dan wakil rakyat masing,” katanya dalam kenyataan.

“Pemuda PAS langsung tidak langsung mengambil berat akan keperluan penduduk Kuala Lumpur tapi lebih berminat bermain politik.”

Pada 18 Okt lalu, lidah rasmi PAS Harakahdaily melaporkan kenyataan Azmer yang mendakwa cadangan meminda Akta Ibukota Persekutuan 1960 sebagai cubaan mewujudkan mewujudkan pilihan raya PBT.

Sehubungan itu, beliau berkata rakyat perlu bangkit melawan hasrat DAP yang begitu berbahaya untuk keamanan negara Malaysia.

Pelantikan Ahli Majlis antara resolusi utama diluluskan DAP Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur pada konvensyennya, 13 Okt lalu.

Ketuanya Tan Kok Wai dipetik berkata ia langkah pertama ke arah reformasi lebih meluas termasuk membawa kepada mengembalikan pilihan raya kerajaan tempatan.

Bernama melaporkan Setiausaha Agung DAP Loke Siew Fook dipetik berkata cadangan itu disifatkan baik bagi memastikan tadbir urus yang baik merupakan pendekatan bijak dan progresif.

Menurutnya, cadangan itu akan dirujuk kepada majlis kepimpinan Pakatan Harapan (PH) untuk pertimbangan lanjut sebelum dibawa ke peringkat lebih tinggi dalam kerajaan.

Naib Pengerusi Teresa Kok yang juga Ahli Parlimen Seputeh pula menekankan kepentingan meminda Akta Ibukota Persekutuan 1960 untuk membolehkan Kuala Lumpur mempunyai Ahli Majlis.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.