
Perkara itu diumumkan Ketua Umno Sabah Bung Moktar Radin yang menegaskan kerusi terbabit perlu dirampas semula dari ‘pengkhianat’.
Untuk rekod, kerusi itu dimenangi Timbalan Ketua Menteri Shahelmey Yahya atas tiket BN pada PRN Sabah 2020.
Beliau digantung Umno kerana enggan mengikut ketetapan parti ketika cubaan menggulingkan Ketua Menteri Sabah Hajiji Noor awal tahun lepas dan terus menyokong pentadbiran pemimpin Gabungan Rakyat Sabah (GRS) itu.
Bung berkata walaupun DUN Sabah belum dibubar namun beliau meminta jentera dan ahli parti di kawasan dapat membantu Jeffrey merampas semula kerusi milik BN terbabit.
“Pilihan kita cuma mahu menang, itu pilihan kita, tidak ada lagi pilihan-pilihan lain, Tanjung Keramat kita rampas daripada pengkhianat, tidak boleh lagi ada pengkhianat kita pancung,” katanya dilaporkan Sinar Harian dalam satu majlis di Putatan malam tadi.
DUN Sabah akan terbubar secara automatik pada Oktober tahun depan, diikuti PRN yang perlu diadakan dalam tempoh 60 hari.