Tanah runtuh: Laluan Simpang Pulai-Cameron Highlands ditutup sementara

Tanah runtuh: Laluan Simpang Pulai-Cameron Highlands ditutup sementara

Jalan ditutup di kedua-dua arah bermula 5 petang ini bagi memberi laluan kerja pembersihan JKR.

Tangkap layar video dimuat naik pengguna media sosial menunjukkan runtuhan cerun aktif di laluan KM43.4 Jalan Simpang Pulai-Cameron Highlands.
PETALING JAYA:
Laluan di KM43.4 Jalan Simpang Pulai-Cameron Highlands ditutup sementara bermula hari ini susulan tanah runtuh.

Ketua Polis Ipoh, Abang Zainal Abidin Abang Ahmad, berkata masih terdapat pergerakan tanah di lokasi terjejas, menjadikannya amat berisiko untuk dilalui semua jenis kenderaan.

Katanya, penutupan jalan di kedua-dua arah bermula 5 petang ini dilaksanakan bagi memberi laluan kepada kerja pembersihan oleh Jabatan Kerja Raya (JKR).

“Polis menjalankan kawalan lalu lintas di sepanjang laluan yang terjejas dari semasa ke semasa,” katanya menurut Bernama.

Sementara itu, JKR Kinta memaklumkan pihaknya menerima laporan mengenai kejadian di Laluan Persekutuan FT185 Jalan Simpang Pulai-Blue Valley itu pada 8 pagi, Rabu lalu.

“Hasil pemantauan mendapati runtuhan cerun masih aktif sepanjang masa walaupun cuaca baik dan dikhuatiri akan bertambah buruk sekiranya hujan.

“Situasi ini mendatangkan risiko keselamatan kepada pengguna jalan raya kerana kemungkinan runtuhan pada skala besar akan berlaku jika pergerakan tanah masih berlarutan,” katanya.

Sehubungan itu, pengguna jalan raya boleh menggunakan laluan alternatif FT059 Jalan Tapah-Cameron Highlands sebagai jalan perhubungan sementara.

Menurut JKR, siasatan lanjut akan dijalankan Cawangan Kejuruteraan Cerun bagi mengenal pasti punca runtuhan dan kaedah pembaikan yang akan dilaksanakan, selain pemantauan berterusan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.