SPRM cadang kerajaan negeri sedia SOP untuk lombong REE

SPRM cadang kerajaan negeri sedia SOP untuk lombong REE

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Azam Baki berkata SOP itu penting bagi mengelakkan berlakunya penyelewengan dan rasuah.

azam
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Azam Baki berkata menggesa kerajaan negeri dan mana-mana organisasi mengkaji dan menambah baik amalan, sistem dan prosedur sedia ada berkaitan perlombongan.
PUTRAJAYA:
Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Azam Baki mencadangkan kerajaan negeri menyediakan prosedur operasi standard (SOP) bagi menjalankan aktiviti melombong unsur nadir bumi (REE).

Azam berkata SOP itu penting bagi mengelakkan berlakunya penyelewengan daripada hasil REE itu dan boleh menutup ruang-ruang berlakunya rasuah.

“Syor ini dibuat berdasarkan pemerhatian dan pengalaman saya.

“SOP perlu kerana jika tidak ada, semua orang boleh melombong tanpa kebenaran. Itu merupakan satu perbuatan mencuri dan salah guna,” katanya pada sidang media selepas Majlis Apresiasi Penambahbaikan Tatakelola Agensi (APTA) 2024.

Kata Azam, amat penting untuk kerajaan negeri atau mana-mana organisasi mengkaji dan menambah baik amalan, sistem dan prosedur sedia ada.

“Penambahbaikan diperlukan. Ini kerana mungkin esok (lusa) mineral baru pula ada.

“Sekarang kita sudah ada bijih timah, bijih besi, bauksit dan REE. Kita tidak tahu (akan) jumpa bahan mineral lain (akan datang),” katanya.

Dalam perkembangan lain, Azam berkata buat masa ini beliau belum boleh mendedahkan lagi maklumat baru berhubung siasatan SPRM ke atas projek 1BestariNet.

“Bagi masa sikit. Saya sentiasa memantau siasatan ini dari masa ke semasa. Saya rasa buat masa ini belum lagi nak umumkan,” katanya.

Bulan lalu, SPRM menyerbu pejabat YTL Communications Kuala Lumpur dan sebuah pejabat kerajaan dalam sebahagian siasatan terhadap tuntutan pembayaran berhubung tender perkhidmatan 1BestariNet.

Difahamkan, siasatan memfokuskan dakwaan butiran palsu berkaitan pembayaran RM2.7 bilion serta unsur jenayah lain di bawah Akta SPRM 2009.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.