
PUTRAJAYA. Program sambutan dua tahun kerajaan Madani akan diadakan selama tiga hari bermula 22 Nov ini di Pusat Pameran dan Dagangan Antarabangsa Malaysia (Mitec), Kuala Lumpur.
Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil, yang juga jurucakap kerajaan perpaduan berkata, perkara itu tu dipersetujui Perdana Menteri Anwar Ibrahim dalam mesyuarat Jemaah Menteri hari ini.
“Ia mengambil sempena tarikh perdana menteri mengangkat sumpah (memegang jawatan itu) iaitu pada 24 Nov 2022.
“Perincian aturcara akan diumumkan kemudian,” katanya pada sidang media mingguan selepas mesyuarat Jemaah Menteri hari ini.
Tahun lepas, sambutan Setahun Bersama Kerajaan Madani diadakan pada 8 hingga 10 Dis di Stadium Nasional Bukit Jalil, menarik kehadiran lebih 230,000 pengunjung.
Sementara itu, mengulas tentang kepengerusian Asean oleh Malaysia pada 2025, Fahmi berkata, pihaknya telah mengarahkan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) untuk memastikan semua lokasi mesyuarat dilengkapi dengan kemudahan Internet berkelajuan 5G.
“Semua lokasi mesyuarat Asean, sama ada pada peringkat pegawai tertinggi atau menteri, mesti dilengkapi dengan kemudahan Internet berkelajuan 5G. Ini sedang diusahakan oleh pihak Kementerian Komunikasi,” katanya.