
Walaupun secara realiti, keluarganya tergolong B40 namun hanya disebabkan satu angka tangga gaji mereka tidak layak diletakkan dalam kategori itu.
“Gaji bapa tidak termasuk dalam (senarai) B40, jadi keluarga kami tidak layak menerima bantuan. Keluarga kami masih tergolong B40 sebenarnya tetapi hanya sebab satu angka tangga gaji, keluarga saya tidak layak,” keluh lelaki berusia 26 tahun itu kepada FMT.
Sehingga kini, juruaudit itu masih mempersoalkan ‘ketidakadilan’ sistem tersebut dan bagaimana pengelasan pendapatan B40, M40 dan T20 ditentukan.
Berdasarkan Kumpulan Isi Rumah 2022, golongan B40 menerima purata gaji bawah RM5,250 sebulan sementara M40 meraih pendapatan antara RM5,251 hingga RM11,819 manakala T20 bermula RM11,820 dan ke atas.
Namun, kisah dilalui keluarga Ken dan mungkin ramai lagi senasib mereka bakal berakhir apabila Perdana Menteri Anwar Ibrahim baru-baru ini mengumumkan pendekatan ‘penyasaran berasaskan keperluan’ digunakan untuk mengenal pasti rakyat benar-benar layak menerima bantuan.
Penyasaran itu akan menggunakan kaedah Pendapatan Asas Kehidupan Wajar (PAKW) iaitu memfokuskan kos keperluan hidup untuk menjalani kehidupan bermakna serta berbeza mengikut lokasi dan jumlah isi rumah yang meliputi kos makanan, pakaian, tempat tinggal, utiliti selain pengangkutan.

Pekerja swasta, Junaidi Abdul Rahman, 51, berpandangan keputusan diambil Anwar adalah langkah berani walaupun tidak popular.
“Seperti yang selalu perdana menteri sebut ‘biar dia ambil keputusan yang tidak popular tapi ia menguntungkan dan memberi kebaikan kepada rakyat’.
“Sebagai orang berpendapatan tinggi komitmen pun tinggi, akhirnya kita pun sama sahaja dengan orang berpendapatan rendah,” katanya.
Katanya, kaedah pengelasan pendapatan menyebabkan ramai golongan yang layak tercicir daripada perhatian kerajaan.

Pegawai kewangan, Law Jia Chang, 27, melihat PAKW sebagai komitmen berterusan perdana menteri untuk memastikan rakyat menerima bantuan adil dan saksama.
Katanya, PAKW lebih tepat dari segi perkiraan dan adil kepada rakyat mahupun kerajaan.
Dalam jawapan di Dewan Rakyat pada 5 Mac lalu Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli, menjelaskan PAKW adalah metodologi daripada International Labour Standard, mengambil kira kos sara hidup yang diukur berdasarkan gaji wajar.
Katanya, pendekatan baharu itu akan disokong dengan pembangunan Pangkalan Data Utama (Padu) mengandungi semua profil maklumat individu dan isi rumah seperti biografi, demografi, pekerjaan, pendapatan, maklumat isi rumah, status OKU, penerima bantuan serta rekod lain, hasil integrasi melalui pelbagai sumber termasuk agensi kerajaan persekutuan, negeri serta badan berkanun.