
Pesuruhjayanya Razman Zakaria mendakwa program anjuran sebuah tokong itu dirasmikan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming yang juga Ahli Parlimen Teluk Intan selain turut dihadiri seorang exco kerajaan Perak dari DAP.
Razman berkata Seksyen 3 Akta Lambang Kebangsaan (Kawalan Mempamer) 1949 melarang mana-mana individu mempamer mana-mana lambang kebangsaan termasuk bendera negara asing di tempat awam atau sekolah.
“Dalam video disebarkan secara jelas ada beberapa kumpulan menyertai program tersebut mengibarkan bendera China yang langsung tiada kaitan dengan sambutan,” katanya dalam kenyataan.
Bagaimanapun, pegawai kepada Nga menafikan menteri terbabit hadir dalam program yang mana didakwa berlakunya peristiwa pengibaran bendera China.
Menurutnya, kejadian itu sebenarnya berlaku pada sambutan Guan Gong Sedunia yang berlangsung semalam, bukan semasa pesta tanglung seperti didakwa Razman.
“Video itu bukan berkaitan festival tanglung seperti didakwa,” katanya.
Razman membuat dakwaan berdasarkan video tular di media sosial yang mendakwa ada sekumpulan peserta mengibarkan bendera China pada sambutan pesta tanglung, bulan lalu.