Lelaki Rohingya didakwa tikam teman wanita hingga parah

Lelaki Rohingya didakwa tikam teman wanita hingga parah

Tiada pengakuan direkodkan selepas tuduhan dibacakan terhadap Fozi Alam Mohammad Alam di Mahkamah Majistret Kuala Pilah.

Fozi Alam Mohammad Alam didakwa di Mahkamah Majistret Kuala Pilah atas tuduhan menikam teman wanitanya dengan pisau hingga parah di dalam sebuah rumah di Bahau, Jempol bulan lalu.
KUALA PILAH:
Seorang lelaki Rohingya didakwa di Mahkamah Majistret atas pertuduhan menikam teman wanitanya yang juga warga Indonesia sehingga parah di Bahau, Jempol bulan lalu.

Fozi Alam Mohammad Alam, 43, yang tidak diwakili peguam hanya mengangguk faham sebaik pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Saiful Sayoti, namun tiada pengakuan direkodkan.

Mengikut pertuduhan, Fozi Alam dengan sengaja menyebabkan cedera parah terhadap seorang wanita menggunakan sebilah pisau dengan menikamnya sehingga boleh menyebabkan kematian di sebuah rumah di Taman Acbe, Bahau kira-kira 3.30 pagi, 26 Sept lalu.

Dia didakwa mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum hingga 20 tahun dan boleh juga dikenakan sebatan atau denda, jika sabit kesalahan.

Pegawai Pendakwa Polis Rosli Muhamad kemudian memohon mahkamah supaya menetapkan satu tarikh lain supaya pertuduhan dapat dibacakan di hadapan hakim Mahkamah Sesyen dan meminta agar tiada sebarang jaminan ditawarkan berikutan tertuduh merupakan warga asing.

Mahkamah kemudian menetapkan 12 Nov ini sebagai sebutan semula kes di Mahkamah Sesyen dan tiada jaminan diberikan terhadap tertuduh.

Dalam kejadian pada 26 Sept lepas, media melaporkan seorang wanita berusia 40 tahun cedera parah setelah ditikam oleh teman lelakinya di bahagian muka, perut dan bahu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.