TNB rugi lebih RM440 juta akibat kecurian elektrik lombong bitcoin

TNB rugi lebih RM440 juta akibat kecurian elektrik lombong bitcoin

Kerugian sebanyak RM441,600,089 dicatat dalam tempoh 2020 hingga September lalu.

Sebanyak 2,091 serbuan berhubung kecurian elektrik untuk perlombongan bitcoin dilaksanakan di seluruh negara sejak 2020 hingga September lalu. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Tenaga Nasional Berhad (TNB) mencatatkan kerugian berjumlah RM441,600,089 akibat kecurian elektrik bagi kegiatan perlombongan bitcoin sejak 2020 hingga September lalu.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Shuhaily Mohd Zain, berkata maklumat itu diperoleh hasil operasi bersama dijalankan pasukannya dengan TNB dalam tempoh itu.

Katanya, 2,091 serbuan berjaya dilaksanakan di seluruh negara sejak 2020 hingga September lalu dengan 54 operasi pada 2020; 529 operasi (2021); 692 (2022); 358 (2023); dan 458 (2024)

“Daripada 2020, hasil serbuan yang kita buat terhadap mesin-mesin perlombongan bitcoin yang telah kita rampas, anggaran kerugian adalah RM5,922,976 dan pada 2021 sebanyak RM140,454,624.

“Pada 2022, sebanyak RM124,963,423, tahun lepas RM67,166,744 dan tahun ini sehingga September dah cecah RM103,092,322.90,” katanya pada sidang media selepas majlis kunjungan hormat dan serahan sumbangan pacuan empat roda oleh TNB di Bukit Aman.

Mengulas berhubung sumbangan enam pacuan empat roda oleh TNB untuk membantu polis khususnya JSJ, Shuhaily berkata ini merupakan lanjutan daripada kejayaan operasi dicapai pada 2022 dan 2023 serta sebagai tanda sagu hati kejayaan Bahagian D4 JSJ Bukit Aman.

“Ini bukan kali pertama TNB memberi sumbangan kenderaan kepada kami, malah pada 2022, sebanyak sembilan pacuan empat roda diserahkan serta 25 kontena untuk menyimpan barang kes juga disumbangkan pada tahun lepas,” katanya.

Shuhaily berkata, kerjasama TNB dan JSJ dalam menangani kegiatan kecurian arus elektrik ini terjalin sejak 2020.

Turut hadir pada majlis itu Timbalan Ketua Polis Negara Ayob Khan Mydin Pitchay, Pengurus Besar Kanan dan Ketua Jabatan Pengurusan Aset TNB Zahari Dollah dan Setiausaha Polis Kamaruzaman Abdullah.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.