Takiyuddin-Rayer bertikam lidah isu adendum ahli politik

Takiyuddin-Rayer bertikam lidah isu adendum ahli politik

Takiyuddin Hassan membangkitkan sama ada adendum membabitkan seorang tokoh politik dalam persidangan Dewan Rakyat hari ini.

Takiyuddin Hassan dan RSN Rayer terbabit dalam pertikaman lidah berkait isu adendum membabitkan seorang tokoh politik.
KUALA LUMPUR:
Sidang Dewan Rakyat kecoh selepas berlaku pertikaman lidah antara wakil kerajaan dan pembangkang berhubung isu adendum membabitkan seorang tokoh politik.

Takiyuddin Hassan (PN-Kota Bharu) mempersoalkan sama ada proses itu yang dikatakan Timbalan Perdana Menteri Zahid Hamidi benar-benar dikeluarkan oleh Yang di-Pertuan Agong ke-16.

“Tak mungkin perdana menteri (Anwar Ibrahim) dan menteri dalam dewan tak mengetahui wujud atau tidak adendum ini,” katanya dalam perbahasan Belanjawan 2025.

Bagaimanapun RSN Rayer (PH- Jelutong) bangkit dan mengarahkan peraturan dewan dikeluarkan dibawah peruntukan 38 (8) bahawa ahli dewan tidak boleh membahaskan mengenai kelakuan atau sifat Yang di-Pertuan Agong.

Menurut Rayer, Takiyuddin tidak seharusnya mempersoalkan tindakan Agong sambil menambah sebagai seorang peguam beliau seharusnya tahu perkara-perkara seperti itu.

Pertikaman lidah terus berlaku sehingga Timbalan Speaker Alice Lau meminta supaya perkara itu tidak dibahas.

Sementara itu Hamzah Zainuddin (PN-Larut) tampil mempertahankan Takiyuddin dengan mempersoalkan adakah adendum yang disebut Zahid itu dikeluarkan oleh Yang di-Pertuan Agong.

“Itu bukan menuduh Agong tapi itu yang dikatakan.

“Adakah ini salah. Ini adalah untuk beri penjelasan kepada semua termasuk Jelutong supaya Jelutong boleh bangun,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.